Awal tahun 80 an dahulu, tidak ramai wanita yang bertudung. Ketika itu wanita bertudung terpaksa menghadapi cabaran yang besar kerana sering menjadi bahan umpatan masyarakat. Mereka dituduh ekstreem, sesat dan ketinggalan zaman. Bahkan ada juga yang mengatakan itu fesyen ara Arab padang pasir. Kita tidak pelik hal begini boleh terjadi.
Ini disebabkan masyarakat jahil terhadap hukum menutup aurat sehingga mereka tidak dapat menerima, malah memandang serong terhadap syariat menutup aurat. Berkat kesabaran wanita-wanita yang bertudung diwaktu itu, akhirnya masyarakat semakin sedar dan faham bahawa memakai tudung itu adalah untuk memenuhi tuntutan syariat. Seperkara yang menarik di waktu itu, apabila seseorang wanita itu bertudung, maka akan nampak beza tingkah lakunya berbanding dengan wanita yang tidak menutup aurat dan peribadinya sendiri sebelum memakai tudung.
Kalau dahulu dia senang bergaul bebas dengan lelaki, tetapi bila sudah bertudung, pandangannya sudah mula ditundukkan, bercakap dengan lelaki pun jarang sekali, tidak seronok malah tidak menghadiri majlis yang ada percampuran bebas lelaki dan perempuan, tidak suka berkeliaran di tempat-tempat awam, cenderung untuk mendalami ilmu-ilmu Islam, suka untuk beribadah, akhlak dan tutur katanya menjadi semakin lembut dan lunak. Suka menolong orang, bibir sentiasa menguntum senyum sebagai sedekah sesama muslim, sedia membantu kesusahan orang lain, sudah benci kepada kemewahan dunia, tahan diuji dan sentiasa mencari-cari peluang untuk mengajak masyarakat wanita yang lainnya agar sama-sama menutup aurat.
Lantaran berbezanya mereka dengan wanita yang lain, maka orang pandang tinggi kepada wanita yang bertudung, walaupun masih ramai yang tidak suka kepada mereka. Waktu itu, kalau wanita sudah sanggup bertudung, ertinya di dalam dadanya sudah ada sedikit sebanyak ilmu- ilmu agama. Sekurang-kurangnya dia sudah hafal dalil-dalil Al Quran dan hadith mengenai hal penutupan aurat.Ini disebabkan mereka sering dihujani dengan berbagai pertanyaan mengenai apa yang mereka buat. Untuk menjawapnya, mereka sudah bersedia memberi jawapan yang sesuai dengan nas Al Quran dan hadith untuk menyakinkan orang ramai. Oleh sebab itu orang ramai memandang tinggi kepada mereka.
Di awal 90 an, bilangan orang bertudung semakin ramai. Di mana- mana sahaja kita boleh bersua dengan wanita yang bertudung. Sama ada di kilang-kilang, di sekolah, di stesen bas, di pejabat, di universiti dan di politeknik malah beberapa pengacara televisyen dan radio pun sudah memakai tudung. Tetapi yang menyedihkan, kalau dahulu wanita bertudung tidak akan ditemui di taman-taman bunga, di tempat- tempat hiburan, berpegangan tangan dengan teman lelaki, dipanggung wayang atau kalau dahulu wanita bertudung bersih mukanya daripada calaran alat-alat make up, tetapi kini dengan mudah kita boleh jumpa wanita bertudung berpeleseran dengan teman lelaki di tempat-tempat sedemikian. Tudung berwarna warni mengikut fesyen sesuai dengan aliran zaman dan fesyen baju. Kadang-kadang pakai tudung pun tidak sempurna mengikut syariat. Kadang-kadang macam nak terlondeh. Antara hendak tutup dan hendak buka. Akhlak dan tutur katanya kasar, malah kadang kala lebih buruk daripada mereka yang tidak memakai tudung atau buka aurat.
Sesetengahnya bertudung tetapi tidak sembahyang. Imej wanita bertudung telah tercemar dengan wanita-wanita yang menjadikan tudung sebagai fesyen atau terpaksa pakai kerana mengikut peraturan. Kalau dahulu bila wanita itu bertudung, automatik dia sudah malu ke panggung wayang, malu untuk berasmara, malu untuk ke tempat hiburan dan sebagainya. Tetapi kini tudung sudah tidak mempunyai peranan untuk mencegah manusia dari terjerumus ke dalam lembah maksiat.
Bila direnung-renung mengapa hal ini boleh terjadi, maka jelaslah wanita- wanita yang bertudung pada hari ini jahil mengenai tujuan dan peranan pemakaian tudung. Ramai wanita yang memakai tudung pada hari ini kerana terikut-ikut dengan suasana. Mereka lihat adik beradik, teman sekolah, teman pejabat atau jiran telah ramai memakai tudung, maka timbul rasa malu kerana mereka sahaja yang masih tidak bertudung. Lantaran itu mereka mengambil keputusan untuk memakai tudung, walaupun hati tidak berapa menyetujuinya. Kini masyarakat telah menerima wanita yang pakai tudung. Ujian sudah tidak besar. Kadang kala orang lelaki yang hendak berkahwin pun memberi syarat, wanita yang hendak dikahwininya mestilah bertudung.
Setengahnya apabila mereka melihat wanita lain memakai tudung lebih canti dan manis, mereka pun hendak memakainya, tanpa mengetahui tentang ilmunya, mengapa mesti pakai tudung. Ada juga yang terpaksa memakai tudung kerana desakan keluarga atau suami. Ada yang mahu menjadikan tudung macam fesyen. Sekejap pakai, sekejap buka.Lantaran itulah nilai orang yang bertudung pada hari ini sudah menurun. Sudah tidak semahal wanita yang bertudung awal-awal dahulu. Hanya wanita yang berpurdah yang belum kelihatan berjalan-jalan di taman bunga atau di tempat-tempat hiburan. Mungkin taraf berpurdah sama dengan wanita yang bertudung dengan wanita yang memakai tudung diperingkat awal dahulu. Sesuatu amalan yang dilakukan kalau bukan atas dasar ilmu dan yakin serta faham apa yang mereka perbuat akan nampak ganjil dan pincang hasilnya. Sesuatu yang di buat bukan dari hati yang ikhlas, walau pun nampak hebat tetapi semuanya kosong. Tiada nilai di sisi Allah.
Wanita yang pakai tudung selain daripada keinginan untuk menutup aurat, tidak akan dapat berbohong dengan Allah walaupun di di dunia mereka berjaya membohongi mata manusia mengatakan mereka juga sudah menutup aurat. Tetapi di akhirat nanti, niat sebenat dan apa yang ada di dalam hati mereka akan diselongkar dan di dedahkan oleh Allah dipadang Makhsyar di hadapan jutaan umat manusia.
Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang sahabat :
" Ya Rasulullah Dengan apakah mencapai keselamatan kelak ?"
Jawab Nabi s.a.w : "Jangan menipu Allah."
Orang itu bertanya lagi : " Bagaimana menipu Allah ?"
Jawab baginda " Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tetapi tidak kerana Allah."
Di samping tiada niat untuk menutup aurat dengan bertudung akan ditolak oleh Allah, wanita yang berniat untuk menutup aurat dengan tudung tetapi tudungnya berfesyen sehingga menarik lelaki memandangnya, atau pun tudung yang dipakainya tidak memenuhi syarat menutup aurat yakni bertudung tetapi masih nampak pangkal leher, bermakna dia belum lagi sempurna menutup aurat, malah semakin berdosa kalau dengan memakai tudung yang berfesyen itu menyebabkan lelaki jatuh hati. Dikala itu tudung bukan menjadi alat untuk menutup aurat, tetapi menjadi alat untuk berhias. Wanita begini bukan mendapat pahala dengan menutup aurat tetapi mendapat dosa.
Bahaya besar kalau beramal bukan kerana ilmu tetapi kerana mengikut masyarakat dan peredaran zaman. Sementara yang mengamalkan syariat kerena pengaruh sekeliling, hanya mampu bertahan atau beramal selagi dia berada di dalam suasana begitu. Tetapi bila dia terkeluar dari kelompok masyarakat, dia sudah tidak mampu bertahan dan turut hanyut dengan masyarakat di sekitarnya. Ujian yang sedikit sahaja mampu menggoyangkan imannya. Oleh itu kalau hendak mendapat keredhaan Allah, maka seseorang itu mestilah berilmu dengan apa yang dilakukannya. Jesteru itu menuntut ilmu adalah perkara yang utama sebagai penyuluh ibadah.
Di samping ada ilmu, amalan yang dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah bukan kerana yang lain dari itu. Kita mesti bina keyakinan di dalam diri kitadan mempunyai kefahaman yang mendalam agar kita tidak mudah tergugat apabila datang ujian, betul di dalam tindakan dan bersabar di dalam apa jua kesusahan.
Nota: Renung-renungkanlah wahai wanita yang berada di luar sana. Jangan memakai tudung hanya ingin mengikut fesyen semata-mata...
Related post:
http://untuk-sesama-insan.blogspot.com/2008/11/conditions-of-hijab.html
Labels: wanita
2 Comments:
-
- Unknown said...
June 24, 2009 at 12:37 AMdulu2 kalau ada orang pompuan pakai tudung akan dipanggil 'orang dakwah'. Pada masa tu hanya orang yang baik saja yang mahu pakai tudung. Tapi sekarang orang pompuan jahat pun pakai tudung. Hati2 selalu.- Anonymous said...
July 9, 2009 at 5:42 PMsaya suka blog ini kerana selalu update, kepada sesiapa, kalau rajin jom la kesini, banyak info terkini http://www.terataionline.net/