Helmi Khalid Thu | Jul 12, 07 | 06:49:53 AM | |
Penulis dengan bolasepak bukanlah alim sangat, tapi pernah jugalah pakai jersi bola wakil sekolah rendah sebagai penyerang utama (Sekolah Rendah Sri Gunong, Alor Star), guru yang melatih kami waktu itu, Cikgu Ahmad Bakar. Bila sambung ke sekolah menengah (Kolej Sultan Abdul Hamid) minat main bola itu ada, tetapi dek kerana di sekolah itu ada kelas sukan yang menghimpunkan jaguh-jaguh sukan bawah 12 tahun dahulunya dari seluruh negeri Kedah, rasa macam kerdil sangat nak bercampur dengan mereka, skil mereka lebih tinggi, stamina pun nampak kuat, serba serbi mereka lebih. Waktu sekolah menengah jugalah, penulis kenal ramai jaguh sukan negeri, antaranya Azmi Mahmud, bekas penjaga gol Kebangsaan dan Kedah; Kamal Idris Ali pemain Kedah sebagai pengawas di asrama A waktu itu; Zabidi Sharif, killer takraw negara; malah waktu tingkatan dua (2C3) Guru Bahasa Malaysia adalah jurulatih skuad Kedah, Cikgu Ahmad Shafie. Waktu kecil, penulis yang kebetulan tinggal dalam kuarters, ada ramai kawan yang 'berkaki bola', apa tidaknya dalam kawasan kuarters itu kami boleh ramai-ramai main bola waktu petang, kalau hari cuti main dari pagi hingga matahari rembang. Penulis sebagai anak sulung dipanggil Mokhtar Dahari oleh kawan-kawan, adik yang muda selang tiga tahun, mereka gelar Hassan Sani, waktu itu umur penulis dalam lingkungan 10 atau 11 tahun, begitulah. Kebetulan ada sehelai t-shirt warna kuning, kalau tak salah t-shirt free dari sebuah pasaraya yang menyambut ulangtahun ke-10 perniagaannya di Alor Star, dicop angka 10 di hadapan baju, megah tak terkata la bila pakai baju tu sebab angan-angan sedang pakai jersi Mokhtar Dahari. Nak bagi real lagi, penulis tulis sendiri angka 10 besar-besar di belakang baju dengan pen marker, bukan baju tu saja, ada dua tiga helai baju lagi yang menjadi mangsa, mak marah jugalah, tapi dah minat pada Mokhtar, nak buat macam mana. Payah juga nak menyambung tulisan ini sebab terkenangkan perangai penulis ketika itu, minat sungguh dengan Mokhtar Dahari, itu kisah lebih 20 tahun yang lalu. Minat pada bolasepak pernah terpadam sedikit masa lalu apabila sukan ini sekitar penghujung 80-an jika tak salah, digemparkan dengan gejala rasuah yang turut melibatkan beberapa pemain Kedah waktu itu. Lama juga memujuk hati untuk minat kembali pada bolasepak, kalau pun tidak bermain, tetapi cukuplah untuk terus sebagai peminat. Akhirnya mulai tahun 1992 penulis terpaksa mengembalikan minat terhadap sukan ini, ditugaskan untuk liputan perlawanan Piala Malaysia di sekitar Lembah Klang. Waktu itu, Azman Adnan penyerang Selangor diberi jolokan 'Super Mokh' kerana kelibatnya di atas padang dikatakan menyamai Allahyarham Mokhtar Dahari. Penulis bertugas di Selangor, di pejabat 80 peratus adalah orang Selangor, seolah seperti terpaksa mengakui Azman Adnan itu adalah Mokhtar Dahari Junior. Tetapi dalam hati, penulis masih berkata Azman masih tak layak menerima gelaran 'Super Mokh', akhirnya penulis menulis semuka penuh membuat bandingan antara dua jagoan bola sepak ini. Orang keliling tengah kata Azman bagus, penulis kata tak bagus, di pejabat penulis kena perli 25 jam sehari, sebab dikatakan dengki dengan kejayaan Selangor melahirkan Azman, bila ke stadium bertugas pada mana-mana perlawanan, rakan media yang lain juga perli hingga suruh penulis duduk sorang-sorang kerana tidak mengiktiraf Azman Adnan. Antara krikitan penulis ketika itu, Azman gagal menjaringkan gol secara gelecekan solo seperti Mokhtar, Azman hanya tunggu bola muntah dan amat jarang sekali Azman menjaringkan gol melalui tandukan. Memang penulis tidak pernah mengenali dekat siapa Mokhtar Dahari, kenal hanya melalui TV bila pemain kesayangan itu beraksi mewakili negara bersama A.Arumugam, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Hassan Sani, Shukor Salleh dan yang lainnya. Kalaulah mahu dibandingkan Zainal Abidin Hassan dan Azman Adnan, rasanya Zainal jauh lebih bergaya daripada Azman. Selepas itu penulis hanya mengambil tahu tentang bolasepak melalui akhbar atau TV, nak ke stadium amat payah sekali kerana ruang masa yang terhad dan tahap minat yang makin menurun, bila tengok sahaja nama pasukan bertanding, seolah sudah boleh ramal keputusannya. 10 Julai, perlawanan pembukaan bagi pasukan negara mengharungi temasya Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, walaupun minat pada bolasepak agak suram dalam diri, tetapi apabila pasukan negara beraksi, ada pula siaran secara langsung, penulis menggagahkan diri menyaksikannya. Malaysia menentang China, secara ikhlas penulis tidak tahu langsung perkembangan bola sepak negara China, tetapi melihat akan susuk tubuh badan pemain mereka, rasa kecut perut pulak. Pengulas 'rasmi' Haji Hasbullah Awang seperti biasa banyak mengutarakan info pemain kedua-dua negara. Beliau turut berkata kepada tetamunya di studio (penulis tidak kenal siapa tetamu itu), nampaknya bila melihat kepada Akmal Rizal, Indra Putra Mahayudin dan Hairuddin Omar negara masih memerlukan Mokhtar Dahari. "Sesuatu harus dibuat untuk mencari ganti Mokhtar Dahari" kata Haji Hasbullah dan beliau menyambung lagi, ia harus berlaku dalam perlawanan-perlawanan peringkat liga. Penulis mengagungkan Mokhtar sejak lebih 20 tahun yang lalu, Haji Hasbullah sebagai pengulas sukan tersohor pula mengatakan Mokhtar perlu dicari ganti, ini bermakna selama dua abad berlalu, sukan bolasepak negara gagal melahirkan pemain yang boleh dibanggakan. Haji Hasbullah juga menyebut beberapa pemain China yang melalui skim pinjaman pemain, dan mereka dipanggil balik setelah beraksi dalam Liga Inggeris. China, pasukan yang pernah layak ke Piala Dunia 2002 itu mempunyai pemain berstatus bintang termasuk Dong Fangzhuo (Manchester United), Sun Jihai (Manchester City), Li Tie (Sheffield United), Shao Jiayi (Energie Cottbus) dan ketua pasukan Zheng Zhi, yang pernah beraksi secara pinjaman dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Charlton Athletic. Negara juga pernah menghantar pemain muda ke kelab luar, tetapi ke mana mereka sekarang pun entah lah. Negara pernah gah apabila Proton berjaya menaja jersi pasukan Norwich City. Antara pendekatan China dan Proton mana lebih berjaya? Memakai baju tajaan Malaysia rasanya kita berjaya memberi pakai baju kepada pemain handalan luar, kalau tak pakai baju tajaan Proton pun mereka tetap handal, tetapi China tidak menghantar jersi sebaliknya menghantar anak watannya memakai jersi kelab luar, hasilnya China berjaya memakaikan anak watannya dengan jersi pasukan handalan seperti Manchester United. China boleh dan telah membawa pulang pemain itu untuk beraksi dan hasilnya amat membanggakan serta bertaraf Manchester United, tetapi jika kita membawa balik jersi Norwich City itu ke sini, siapa pakai pun persembahannya tetap sama seperti biasa. Nampaknya, skuad negara setelah berpuluh tahun dan dalam alaf baru ini hanya layak lahirkan jersi bertaraf dunia, bukannya pemain seperti yang dinantikan oleh seluruh peminat bolasepak! Nota: Ketika catatan ini disiarkan skuad kebangsaan telah dibelasah teruk 5 - 1 oleh pasukan China dan selepas ini sedang menunggu pula hukuman seterusnya daripada skuad Uzbezkistan dan Iran. |
1 Comment:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Jersey: NIKE (ori RM259 / pirate RM69)
Stadium: A lot! But poor maintenance.
Criteria of players:
GK: Short in height, no agility, "Neo-The Matrix" posing to save ball but never caught well.
DF: Short in height, pakai rembat bola ke midfield, no accuracy.
MF: Inaccurate passing, not syncronize, no speed to bring the ball, to skills to pass the opponent. Wingers are useless, mindless or dead.
ST: No accuracy in shooting, lack individual finishing.
Style of playing: Slow-mo, inaccurate passing, stamina only for half of the game.
Attitude: Heavy smoker, primadonnas who dont have honour in wearing the Msian Jersey, quick to have morale down, like to wait til endgame & exchange jerseys with opponent! (Just look at how many of our players are dying to get Beckham's jersey after being trashed 7-0 in the 2001 Friendly at Bkt Jalil), like to be sponsored by branded items like Nike, Adidas, Reebok etc!
Formerly ranked (2002 pre World Cup vs. Brazil): 112
Current ranking: 145
vs. Indon (SEA Games 97/99): 0-6
vs. Man Utd (2001): 0-7
vs. Brazil (2002): 0-4
vs. Jamaica: cant remember but also lost!
vs. China: 1-5
vs. Uzbek: 0-5
vs. Iran: 0-2
Conclusion: A shameful team, poor Manager chosen to lead the team, poor selection of players like there's no other, money driven politics in FAM etc.
My Team boleh cari player 1 Malaysia & prepare lawan Indon takkan lah Team FAM tak boleh?
Kita boleh Cermerlang, Gemilang & Terbilang dlm byk benda tapi pasal bola?
Hopeless, Useless & Worthless!