Tips Mengoda Suami 40an

ANGKA 40 membawa persepsi yang berbeza terhadap lelaki
dan wanita. Bagi lelaki usia 40 dianggap sebagai
permulaan hidup baru, semangat baru, semakin matang.
Bagi wanita usia 40 dikaitkan dengan perkara-perkara
negatif, dan selalu dikaitkan dengan musim saham mula
menurun.

Bukan berniat merendahkan orang perempuan, jauh sekali
untuk memperlekeh kaum wanita. Cuma saya ingin
bercakap perkara yang betul di depan mata. Satu
hakikat perihal Adam dan Hawa.

Macam mana pun golongan pejuang wanita menegaskan
tidak ada beza antara lelaki can perempuan, saya tetap
berasa ada perbezaan yang jelas. Ini bukan soal
fizikal - yang memang jelas ada bezanya - tetapi
ciri-ciri lain yang menyebabkan Leha dan Leman tidak
serupa.

Sebenarnya, awal-awal sudah berbeza. Dari segi tahap
kematangan semua orang mengakui perempuan lebih cepat
dewasa berbanding lelaki. Anak perempuan baligh lebih
awal dari lelaki. Ada gadis yang mula haid seawal
sembilan tahun. Sebaliknya, ada lelaki yang sudah
masuk usia 17 belum ada apa-apa.

Mereka yang mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan
boleh melihat hal yang sama. Baru darjah enam anak
perempuan sudah boleh diharap mengemas bilik tidur,
mencuci pinggan mangkuk, membancuh susu adik. Anak
lelaki sudah tingkatan tiga pun masih tidak tahu
apa-apa.

Sebab itu orang putih kata, kehidupan seorang lelaki
bermula pada usia 40 tahun. Konon, pada usia ini
lelaki menjadi lebih matang, tepat membuat keputusan,
bijak memberi cadangan, lebih penyayang, lebih
prihatin, lebih itu, lebih ini.

Hanya satu yang tidak sedap, malah tidak adil: konon
pada usia 40 inilah degree kemiangan lelaki dikatakan
semakin meningkat!

Miang, gatal, merenyam, gelenyar...banyak lagi
istilah-istilah (maaf, sesetengahnya tidak sesuai
disiarkan sebab kedengaran kurang sopan) yang seerti
dengannya untuk menggambarkan perangai lelaki setelah
melewati usia empat puluhan.

Orang perempuan selalu memberi alasan yang serupa
untuk menguatkan andaian bahawa lelaki memang miang.
Antaranya, yang paling biasa: suami mula menjeling
wanita lain, suami mula main kayu tiga, suami kahwin
baru.

Bukanlah hendak menyebelah lelaki, tetapi pada hemat
saya andaian seperti itu adalah rambang, dan sekali
gus tidak adil. Sebab, bilangan suami yang main kayu
tiga, atau membuka 'cawangan' baru adalah kecil,
terlalu kecil. Mungkin yang jeling-jeling wanita lain
ramai, tetapi percayalah jelingan itu tidak membawa
apa-apa mudarat. Lagi pun ada sebab suami menjeling
wanita lain.

Maaf cakap, ketika suami mula 'meriah habis' pada usia
40, wanita pada usia tersebut dikatakan mula mengendur
dan 'dingin' dalam banyak hal. Sebenarnya, ini diakui
sendiri oleh ramai wanita, sebab itu mereka tidak suka
usia empat puluhan disebut.

Pendek kata, angka 40 membawa persepsi yang berbeza
kepada lelaki dan wanita. Bagi lelaki, usia tersebut
dikaitkan dengan kematangan can kehebatan, bagi
perempuan, usia tersebut sering digambarkan sebagai
peringkat saham menurun.

Kalau ada suami yang mula menunjukkan tanda-tanda
'keriangan' luar biasa, saya ada panduan untuk isteri
menyekat suami main mata dengan orang lain. Kaedah ini
tidak ada dalam buku motivasi suami-isteri, tetapi
boleh dicuba.

Pertama, layan suami seperti biasa. Hangatkan suasana
dengan kata-kata yang memberangsangkan. Contoh:
"Fuhhh, misai abang sekarang tebal semacam, kita
tengok pun geram!" Atau: "Abang sejak minum kopi herba
tu, kita rasa luar biasa!"

Kata-kata seperti ini boleh membangkitkan semangat,
dan suami merasa dihargai. Tetapi jangan cakap sahaja,
isteri patut buktikan dengan perbuatan. Jika hanya
pandai memuji misai, tetapi di bilik tidur isteri
rebah dan tidur macam tunggul, pujian tentang misai
itu tidak bererti langsung.

Tidak guna menyiapkan kopi dengan tujuh ramuan herba,
sekiranya di katil isteri berdengkur kuat seperti bom,
tanpa sedikit pun menghiraukan perasaan suami yang
seperti gelora tsunami.

Masalahnya ialah wanita pada usia 40, lebih-lebih lagi
yang sudah beranak ramai, sudah mula dingin seks.
Bukan putus haid, tetapi mula tidak berapa minat
mengadakan hubungan kelamin. Mungkin sebab kesibukan
di pejabat, atau letih melayan anak-anak sepanjang
hari di rumah, isteri menjadi pasif di katil. Letak
sahaja kepala di bantal, terus berdengkur.

Pada hemat saya, tanpa mengira usia, isteri patut
bijak melakukan reaksi-reaksi hangat semasa berdua di
kamar tidur. Mungkin boleh cuba urutan cakar harimau
yang popular itu. Sambil mencakar boleh bergurau
senda, dan puji-puji tentang misai.

Kalau cakaran harimau sudah mengena, suami yang letih
menjadi segar semula. Pasti suami akan membalas dengan
cakaran kucing jantan.

Bayangkan apa akan terjadi apabila cakar berbalas
cakar. Tentu harimau akan mengaum.

Amaran: hati-hati sekiranya isteri berkuku panjang dan
tajam, takut tersilap cakar luka pula kulit belakang
suami. Akibatnya, suami berasa kesakitan dan mungkin
menggunakan tendangan kambing gurun hingga isteri
terpelanting bawah katil!

Kedua, isteri mesti terus bergaya. Sebenarnya wanita
pada usia 40-45, masih cantik dan menawan. Masih
anggun dan mempesona. Memanglah tidak 'cun-melecun'
seperti gadis belasan tahun lagi 'trang-tang-tang'.
Tetapi sekiranya bijak mendandan diri, suami pasti
tidak menjeling pada orang lain.

Masalahnya ialah sesetengah isteri, terutama yang
menjadi suri rumah sepenuh masa, tidak menghiraukan
soal keterampilan diri. Tidaklah selekeh, tetapi
kurang mesra alam. Rambut tidak disisir, menggerbang
macam langsuir atau penunggu pohon beringin dalam
Misteri Nusantara. Dahi berkerut, bibir berkedut.
Tanpa bedak, tanpa gincu. Pipi pun berminyak semacam.

Sudahlah begitu, pakaian pun asyik kain batik lusuh
dengan t-shirt Pagoda leher bulat yang ketiaknya
terkoyak sedikit. Ini sudah menjadi uniform tidak
rasmi suri rumah yang tidak berseni. Sesetengahnya
langsung tidak berbaju, hanya berkemban. Sudahlah
berkemban, nampak bulu ketiak keriting, betul-betul
macam ibu si Tenggang.

Percayalah, kalau rupa seperti ini yang dilihat oleh
suami setiap hari, belum masuk usia 40 tahun pun suami
sudah menjeling wanita lain. Jika hari-hari melihat
puntianak atau ibu si Tenggang, suami pun berasa muak
juga. Suami pun hendak melihat benda-benda indah.

Sebenarnya, mendandan diri bukan susah sangat. Lagi
pun kebanyakan suami tidak cerewet sangat. Suami tidak
mengharapkan isteri menyambutnya dengan pakaian
berjenama antarabangsa, atau jari lentik dengan kuku
berwarna, bibir merah dan basah berkilat, rambut ikal
mayang teknik rebonding, alis lentik bagai penari Mak
Yong.

Apa yang dikehendaki oleh kebanyakan suami ialah
penampilan seorang isteri yang kemas, sopan dan
kelihatan manja. Jangan lentuk sangat, suami naik
lemas pula. Rambut perlu disisir kemas, pada hari-hari
tertentu (petang Khamis umpamanya!) boleh letak bunga
ros di kepala. Tetapi, jangan pula terlebih hingga
pacak bunga manggar di kepala. Nanti suami ingat
isteri sudah sewel.

Pipi patut dihias supaya tidak nampak berminyak macam
mamak jual capati. Kalau tidak mampu pakai bedak yang
berjenama, bedak biasa pun boleh, asalkan disapu
dengan kemas. Jangan asyik lumur dengan bedak beras
sejuk sehingga wajah kelihatan seperti wayang China
purba!

Tidak salah menyambut kepulangan suami dengan haruman.
Semburlah pewangi yang boleh membangkitkan semangat.
Kalau tidak ada pewangi pun gunakanlah haruman ash
dari bunga cempaka, melur, kenanga atau lain-lain
bunga wangi.

Kalau pun teruk memasak di dapur pastikan bau serbuk
kari, sambal belacan, budu, atau bau ikan pekasam
goreng tidak melekat di tubuh. Amaran: jangan
sekali-sekali ada bau semburan ubat lipas atau kapur
barus pada tubuh. Mati selera suami.

Ketiga, mesti selalu senyum. Sambutlah suami dengan
senyum paling manis. Senyum yang ikhlas, dan bukan
dibuat-buat. Ingat, orang lelaki dapat membaca antara
senyuman ikhlas dan senyum palsu. Tetapi, jangan
tersengih tidak tentu pasal, nanti suami ingat isteri
tersampuk puntianak sundal malam.

Tidaklah diharapkan isteri mengurut-urut bahu atau
dada suami sebaik masuk ke rumah, lebih-lebih lagi di
hadapan anak-anak. Memadailah isteri menegur: "Abang
nampak letih, boleh kita ambilkan air? Abang nak air
sejuk atau air panas?"

Tetapi, jangan pula memberitahu suami benda-benda yang
mungkin mematikan semangatnya, seperti: "Tadi ada
orang datang, dia kata abang dah tiga bulan tak bayar
ansuran kereta, betul ke?" Atau: "Orang sebelah tu
beli TV 29 inci, boleh tak kita beli yang 36 inci?"

Keempat, etika di bilik tidur. Ini paling penting,
sebab bilik tidur adalah tempat rehat bagi suami
isteri. Tempat tidur mesti selalu kemas dan menarik.
Semburkan haruman supaya semerbak sepanjang malam.
Sesekali taburkan bunga-bunga wangi di atas tilam.
Barulah bersemangat untuk cakaran harimau atau cakaran
kucing.

Malangnya, bagi isteri yang sudah melewati empat
puluhan, bau haruman di kamar beradu biasanya tidak
dihiraukan lagi. Tidak ada bau minyak wangi, seperti
zaman baru-baru kahwin dulu. Apa yang memenuhi bilik
tidur sekarang hanyalah bau minyak angin.

Bilik tidur penuh dengan beraneka minyak angin.
Penjuru katil ada minyak lenguh sendi, tepi bantal ada
minyak sengal tulang, atas tilam ada minyak pening
kepala, bawah katil pun ada minyak semput.

Walaupun sudah lenguh sana-sini, minyak-minyak itu
bukan di kamar tidur tempatnya. Kalau setiap malam
hidung suami tersumbat bau minyak angin, matilah
seleranya untuk mencakar. Ini yang isteri kena faham.

1 Comment:

  1. mrandmrsazim said...
    great post...at least i'll prepare my self when im 40..Thank You!

Post a Comment




 

Original Blogger Template | Modified by Blogger Whore | Distributed by eBlog Templates