Bicara Agama
Keperluan fikah interaksi dengan bukan Muslim
Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
SAYA rasa amat berat apabila mendapat banyak jemputan untuk menghadiri seminar
dan perbincangan isu-isu murtad. Walaupun pihak penganjur mempunyai alasan
mereka yang tersendiri, namun saya selalu berkhayal satu seminar besar dibuat
tentang orang ramai menganut Islam.
Dalam politik pilihan raya, pelbagai akhbar parti akan menyiarkan cerita
ahli-ahli parti lawan keluar parti. Sama ada benar atau tidak, itu merupakan
perang psikologi yang akan melemahkan jentera parti musuh dan semangat pengundi.
Demikianlah juga tentang isu murtad, jika kita asyik membicarakan tentang orang
keluar agama kita, lemahlah semangat para pendakwah ikhlas yang sedikit itu, dan
patahlah hasrat bukan Muslim yang ingin mendekati agama ini.
Adakah di sana suatu yang lebih malang dari agama yang bukan sahaja gagal
menarik orang luar mendekatinya, bahkan penganut yang adapun ingin
meninggalkannya. Mereka yang menggembar-gemburkan angka murtad yang bukan-bukan
itu – secara langsung atau tidak langsung – memainkan peranan penting melemahkan
umat ini dari dalam dan menghalang orang lain daripada menghampiri agama yang
suci ini.
Dahulu kita membaca pemimpin agung Islam Umar bin al-Khattab yang berpesan
kepada bala tentera Islam yang dikepalai oleh Saad bin Abi Waqqas sebelum
peperangan Qadisiyyah menentang Parsi dengan kata-kata mutiara, antaranya:
“...yang menyebabkan kaum Muslimin itu menang hanyalah kerana maksiat
musuh-musuh mereka. Jika tidak kerana faktor itu, kita tidak memiliki kekuatan
untuk menghadapi musuh. Sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka,
persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka. Jika kita sama dengan
mereka dalam hal maksiat, sudah pasti mereka memiliki kelebihan di sudut
kekuatan. Jika kita tidak mampu menang dengan kelebihan kita (ketakwaan) sudah
pasti kita tidak dapat menewaskan mereka dengan kekuatan kita” (Dr. ‘Ali
al-Salabi, Umar bin al-Khattab, m.s. 420, Kaherah: Dar al-Tauzi’ Wa al-Nasyr
al-Islamiyyah).
Ucapan Umar sangat bermakna dan menarik. Pengajaran untuk umat yang tewas hari
ini. Namun saya ingin melihat di sudut yang sebaliknya dalam negara kita ini.
Jika Umar menyatakan: “..sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka,
persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka,” realiti yang berlaku
dalam negara kita sebaliknya.
Jumlah umat Islam lebih ramai, peruntukan dan bajet kerajaan untuk aktiviti
Islam begitu banyak, bahkan zakat berlebihan saban tahun – walaupun yang miskin
terus menderita. Pegawai dan pejabat yang berkaitan Islam amatlah banyak.
Kita ada jabatan, badan, yayasan, mahkamah, Perlembagaan dan berbagai-bagai lagi
yang berpihak kepada kepentingan Islam. Namun mengapa kita masih kelihatan bagai
kita umat yang tewas. Tidakkah jika kita tidak dapat menewaskan orang lain
dengan ketakwaan kita, sekurang-kurang kita berjaya disebabkan faktor kekuatan
lahiriah kita. Mengapa tidak?
Seorang yang berjalan kaki akan sampai ke destinasinya jika ia terus berjalan
dengan arah yang betul. Namun seorang yang mempunyai kenderaan canggih dan mewah
tidak akan sampai jika hanya berada dalam kenderaannya sambil membelek-belek
kemewahan itu tanpa menggerakkannya ke arah destinasi yang betul.
Begitulah halnya kita ini. Kita wajar bertanya sejauh manakah kenderaan mewah
kita ini benar-benar digerakkan?
Aduhai malangnya, sepatutnya dengan Islam yang indah ini, semakin lama bukan
muslim hidup di kalangan masyarakat muslim semakin harmoni perasaan mereka dan
semakin menghormati kita, jika tidak pun mereka menerimanya. Namun realitinya,
semakin hari nampaknya, unsur-unsur prasangka dan prejudis makin berbuah antara
mereka dan kita.
Di sini saya tidak ingin membicarakan tentang masyarakat bukan Muslim dan agenda
mereka. Namun barangkali kita gagal menonjolkan wajah Islam yang mengangkat
nilai dan penghormatan. Lama-kelamaan gambaran Islam itu begitu tidak indah pada
generasi mereka.
Di sudut ekonomi dan kehidupan dunia, kita gagal menonjolkan nilai yang positif.
Jika kita ingin berkempen agar bukan Muslim menghormati Islam dengan kejayaan
kita dalam sudut pembinaan ekonomi dan tamadun, nampaknya harapan itu amat
kabur. Jalan untuk sampai kepada kehebatan ekonomi itu juga bukannya singkat.
Apa yang tinggal bagi kita ialah menonjolkan kehebatan ajaran Islam yang
membentuk perilaku mulia umatnya.
Masih ramai manusia di dunia ini yang terpengaruh dengan budi baik melebihi
kekayaan harta.
Malangnya, fikah dakwah kita kepada bukan Muslim terbenam sama sekali. Ada
saudara baru mengadu dia ingin menganut Islam dan menghubungi pihak yang
berkenaan; pegawai agama itu memberitahunya “jika awak hendak masuk Islam
hendaklah pada waktu pejabat, tunggu saya masuk pejabat dulu.”
Saya cadangkan pegawai berkenaan tulis di pintu pejabatnya ‘waktu masuk Islam 8
pagi sehingga 5 petang’. Semangat dakwah kita tidak kukuh. Kemudian hairan orang
tidak minat dengan Islam. Jika orang lain bekerja untuk agama mereka tanpa
mengira waktu dan berkorban, maka jangan hairanlah jika mereka berjaya memenangi
persaingan ini.
Ramai orang bukan Islam selalu salah faham tentang sikap Islam terhadap mereka.
Mereka menyangka ajaran Islam itu sentiasa membenci dan memusuhi mereka tanpa
sebab. Padahal Allah menyebut dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9, (maksudnya)
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta
kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu
daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama
(kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang
lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman
rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
Namun apa yang hendak dihairankan jika mereka salah faham. Mereka lihat ramai
orang Islam yang mendapat bantuan kebajikan daripada mereka; seperti ketika
tsunami, yang sakit kronik dan seumpamanya. Ada orang kita berulang-alik ke
tempat ibadat mereka untuk mendapat bantuan rawatan percuma. Di pihak kita pula
kurang memberi kepada mereka.
Bahkan pegangan mazhab tempatan kita begitu sempit sehingga mengharamkan
sesetengah pemberian seperti daging korban dan akikah kepada mereka sekalipun
jiran di sebelah rumah. Sehingga apabila kita buat korban atau akikah, kita
menjemput orang ramai makan, kita tinggalkan jiran bukan Muslim kita kerana
bimbang nanti korban atau akikah kita terbatal.
Padahal, tiada nas dari al-Quran atau hadis yang menyatakan sedemikian. Badan
Fatwa Tetap Arab Saudi ketika ditanya tentang hal ini menjawab: “Ya, boleh untuk
kita memberikan daging korban kepada bukan Muslim yang tidak memerangi Islam
atau tawanan perang (bukan Muslim). Boleh kita berikan kepadanya disebabkan
kefakirannya, atau hubungan keluarga atau kejiranan, atau untuk menjinakkan
hatinya” (11/424).
Namun disebabkan taksub mazhab, ramai yang sempit dalam hal ini. Lucunya, kita
halang daging korban beberapa keping, dalam masa yang sama kita gadaikan lesen,
permit, projek dan tanah berkeping-keping. Dalam masalah menjawab salam juga
kita sempit.
Kita haramkan mereka menjawab salam sedangkan ia merupakan kalimah yang baik,
namun ramai yang tidak pula melenting apabila mendengar perkataan maki hamun
atau mencarut atau merapu dari bukan Muslim ataupun Muslim.
Ramai yang susah hati kerana pertubuhan agama tertentu memberikan bantuan kepada
orang-orang Islam yang kesusahan. Bimbang nanti akan mempengaruhi orang Islam.
Persoalannya, mengapa kita tidak lakukan. Kita ada Baitulmal, zakat yang
‘berlebihan’ dan sumber-sumber lain yang boleh dijadikan penarik muslim dan
bukan Muslim mendekati agama ini.
Ironinya, ada pula orang Islam menganggap memberi sedekah kepada bukan Islam
tidak dapat pahala. Hal ini tidak benar. Pada zaman Nabi s.a.w. kaum Muslimin
juga pada awalnya berat untuk memberikan bantuan kepada selain dari kalangan
mereka. Mereka seakan merasakan pahala itu hanya diperoleh jika sedekah itu
diberikan kepada sesama akidah.
Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 272 (maksudnya):
“Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang tidak
beriman) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk),
akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang baik yang kamu
belanjakan (pada jalan Allah) maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri
dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan
Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan
(balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak
dikurangkan.”
Dengan turunnya ayat ini bererti pemberian sedekah kepada sesiapa sahaja, sama
ada Muslim atau bukan Muslim, orang baik atau tidak, tetap mendapat pahala
selagi tujuannya mencari keredaan Allah. (lihat: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran
al-‘Azim, 2/476, Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub).
Bahkan dalam zakat, di kalangan ulama berpendapat peruntukan fakir miskin boleh
diberi kepada bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam. Dr. Yusuf al-Qaradawi
antara yang berpegang kepada pendapat ini. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah,
2/ 707, Beirut: Muassasah al-Risalah). Malah zakat boleh diberi kepada bukan
Muslim atas peruntukan mualaf untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam. Sama
ada miskin atau tidak, seorang bukan Muslim boleh diberikan zakat jika itu boleh
mendekatkan hati mereka dengan Islam.
Dalam tulisan sebelum ini saya telah huraikan hal ini. Namun, tafsiran mualaf
kita begitu sempit, maka zakat gagal berfungsi sebagai agenda dakwah. Tidak
hairan jika zakat ‘berlebih-lebihan’ saban tahun, sedangkan masalah umat
bertambah.
Dahulu, sesetengah orang menganggap kurang baik jika lalu di hadapannya
kenderaan jenazah bukan Muslim. Padahal dalam hadis disebut: “Sesungguhnya telah
lalu di hadapan Nabi s.a.w. satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk
menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang Yahudi.”
Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
Nilai ketinggian akhlak ini sepatutnya dijelaskan kepada bukan Muslim agar
mereka pandang tinggi kepada nabi kita. Jangan cuba dikaitkan agama ini dengan
nilai-nilai keganasan.
Masjid-masjid kita juga sepatutnya seperti masjid pada zaman Nabi s.a.w.
Diizinkan bukan Muslim masuk mendengar kuliah atau ceramah agama atau mengambil
bantuan kewangan bagi yang kesusahan. Sepatutnya masjid dibuka untuk bukan
Muslim mengenali Islam, hadir melihat amalan orang Islam dan mendapat penerangan
yang harmoni mengenai Islam. Inilah yang berlaku pada zaman nabi.
Para perwakilan yang Muslim dan bukan Muslim dari serata ceruk rantau datang
menemui Nabi s.a.w. dalam masjid baginda. Namun kita ini, jika bukan Muslim
masuk ke masjid atau duduk melihat amalan Islam di masjid, kesempitan pemikiran
pun akan berperanan aktif.
Banyak lagi jika hendak dibincangkan di sini. Saya mencadangkan agar kita
memasukkan dalam sukatan pengajian agama kita di masjid dan sekolah secara jelas
tajuk fikah atau akhlak Islami dalam berinteraksi dengan bukan Muslim. Dengan
harapan akan terpancar di hadapan mereka cahaya keindahan agama ini.
- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.
0 Comments:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)