Soal Jawab Agama

Menjaga suami uzur lebih afdal

SOALAN 1:
SEORANG wanita tua mengerjakan solat wajib dan solat sunat (tarawih) berjemaah di surau manakala suaminya yang uzur dan nyanyuk ditinggalkan di rumah dan dijaga oleh pembantu rumah.

Mana yang lebih afdal, menunaikan solat berjemaah di surau atau menjaga sendiri suami yang telah uzur dan nyanyuk di rumah?

JAWAPAN:
Adalah lebih baik si isteri menjaga suaminya yang uzur. Walaupun Islam tidak melarang wanita ke masjid atau ke surau untuk menunaikan solat wajib atau sunat, tetapi keizinan ini bergantung kepada keadaan dan keperluan. Jika ada perkara yang lebih utama seperti menjaga suami yang uzur adalah tidak dituntut ke atasnya ke masjid atau surau.

Ini kerana perkara yang perlu diberi keutamaan ialah menjaga suami yang uzur. Daripada Muaz bin Jabal, hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang sujud kepada seseorang yang lain nescaya aku akan perintahkan para isteri sujud kepada suaminya kerana kedudukan hak suami ke atas isteri”. (al-‘Ilal Li Ibn Abi Hatim, jld:2,hlm:286)

Nas ini jelas bahawa taat kepada suami kedudukannya ialah selepas menyembah Allah s.w.t. Taat kepada suami bermaksud taat kepada Allah. Taat kepada Allah s.w.t. tidak bermaksud taat kepada suami. Ini kerana ada di kalangan isteri yang solatnya cukup, puasanya cukup, baca al-Quran juga cukup, tetapi belum tentu dia diredai Allah dan belum tentu Allah terima ibadatnya dan bergembira dengan amalannya. Seorang isteri akan dipandang pada ketaatannya kepada agama dan ketaatannya kepada suami.

Mentaati suami itu wajib selagi mana si suami tidak menyuruh isterinya melakukan kemaksiatan kepada Allah. Ada diriwayatkan dalam kisah hidup para sahabat, bahawa pada suatu hari Fatimah puteri kesayangan Rasulullah s.a.w. telah menyinggung suaminya Saidina Ali dengan kata-kata. Kata-kata yang kurang enak itu menyebabkan Saidina Ali berasa hati. Apabila Fatimah menyesal dan menyedari akan kesilapan dalam berbahasa kepada suaminya. Fatimah cuba memujuk suaminya dengan meminta maaf berulangkali. Fatimah meminta maaf seperti budak kecil yang tersilap. Melihat kepada gelagat isterinya yang tercinta Saidina Ali tersenyum dan memaafkan isterinya.

Perkara ini diberitahu oleh Fatimah sendiri kepada ayahandanya Rasulullah s.a.w. Lantaran baginda bersabda: “Ketahuilah wahai Fatimah sekiranya engkau bertemu ajal sebelum kau dimaafkan oleh suamimu nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu.” Peristiwa yang berlaku dalam keluarga Rasulullah ini mengajar para isteri supaya sentiasa menjaga perasaan suami dan tidak menyinggung hatinya.

Ini tidaklah bermaksud isteri sahaja yang bertolak ansur kepada suami, malahan si suami juga perlu bertolak ansur kepada isterinya. Kesimpulannya, suami isteri wajib mengetahui peranan masing-masing yang telah dipertanggungkan oleh syarak.



SOALAN 2:

Adakan kita wajib berpuasa setelah darah nifas (bersalin) kering bermakna tidak ada sebelum tempoh 40 hari dalam pantang? Sebelum 30 hari sudah bolehkah berpuasa?
JAWAPAN:
Tempoh 40 hari itu adalah anggaran. Angka itu dipegang oleh masyarakat kita sebagai bilangan hari yang dianggap sebagai tempoh masa berpantang. Jangan samakan tempoh berpantang dan tempah nifas. Ada ibu yang bersalin darah nifasnya memakan masa yang pendek dan ada pula yang memakan masa yang panjang. Adapun yang melebihi 40 hari menjadi perbincangan sama ada selepas 40 hari itu darah nifas atau darah berpunca dari penyakit. Kesimpulannya apabila berhenti sahaja darah nifas maka wajiblah bagi perempuan itu berpuasa walaupun darahnya berhenti sebelum 40 hari.



SOALAN 3:

Apabila bersetubuh di malam hari pada bulan Ramadan, untuk mandi wajib adakah sebelum Subuh atau waktu imsak? Ini kerana kadang-kadang kita tertidur hingga pukul 7 baru dapat mandi wajib. Jadi adakah sah puasa kita?

JAWAPAN:
Walaupun tidak sempat mengangkat hadas besar (mandi wajib) sebelum Subuh atau waktu imsak, puasa tetap sah. Daripada Aisyah dan Ummu Salah r.a. memberitahu: “Adalah suamiku (Rasulullah s.a.w.) kedua-dua mereka memberitahu: Sesungguhnya Rasulullah menemui Subuh sedang baginda dalam keadaan junub kemudian baginda mandi dan berpuasa.” (Lu’lu’ wa al-Marjan, jld:1, hlm:11).

Nasihat saya agar keadaan ini tidak berulang, iaitu mandi pukul 7 pagi, sekarang ini waktu syuruk pukul 7 pagi. Persoalannya pukul berapa solat Subuh? Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w. mandi setelah masuk waktu subuh, ini tidak bermaksud Nabi s.a.w. juga lewat Subuh. Berusahalah supaya solat Subuh ditunaikan pada waktunya.


SOALAN 4:

Apa hukum menyiram air ke atas kepala dan badan di siang hari Ramadan?

JAWAPAN:
Hukumnya harus, ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyiram air ke atas kepala dan badan Baginda kerana terlalu panas dan terlalu dahaga. (riwayat Bukhari dan Muslim). Dan diriwayatkan sesungguhnya Ibnu Abbas akan masuk bilik air di bulan Ramadan untuk mandi dan berendam. ( Ibnu al-Qudamah, al-Mughni, jld:3, hlm;103).

Berdasarkan kepada nas di atas mazhab al-Syafieyyah mengharuskan ke atas orang yang berpuasa untuk mandi dan berendam atau menyiram air ke atas kepala.

Walaupun ada kelonggaran dalam hadis di atas seperkara yang mengikat kita ialah keharusan itu bagi orang yang merasakan sangat panas dan sangat dahaga. Bagi mengelakkan keletihan atau boleh menyebabkan gangguan pada kerja seharian, maka syarak mengharuskannya.

0 Comments:

Post a Comment




 

Original Blogger Template | Modified by Blogger Whore | Distributed by eBlog Templates