CERITA ana ini mungkin ada pada sesiapa termasuk anta juga. Ana tidak terkejut jika anta tidak mahu percaya, meski ia cerita benar. Terpulang kepada anta. Dan ana tidak memaksa sesiapa untuk percaya apalagi menjanjikan apa-apa. Namun untuk lebih meyakinkan anta, ana telah menyediakan saksi kepada kebenaran fakta cerita ini.Ringkasnya, ana nyatakan: Nil mencintai ana sejak di bangku sekolah. Kami sama-sama terpaut hati dan menjadikan cinta pemangkin semangat untuk meraih kecemerlangan dalam SPM. Guru-guru merestui dan kawan-kawan menganggap kami pasangan yang paling ideal.

Memang cukup menggembirakan juga apabila sama-sama berjaya membuktikan keunggulan dalam peperiksaan. Dan sebuah cinta sejati mesti tahan diuji masa dan tempat. Kami terpaksa berpisah sementara - demi cita-cita - ana ke utara mengaji perakaunan, dan Nil ke matrikulasi undang-undang sebuah universiti di ibu negara.Nil gadis baik. Lembut dan cantik. Sopan dan menawan. Sebagai siswi yang terdidik dengan agama sejak kecil, semestinya Nil bertudung dan taat menjaga syariat. Haram sekali belum pernah kami keluar dating seperti pasangan lain. Padanya memang terlengkap ciri-ciri penyejuk mata yang ana cari. Lalu kala usia sementah itu, ana sudah memasak tekad ke teras hati: biarlah Nil yang pertama, juga yang terakhir.Dan tidak lupa, tanpa pengetahuan Nil, ana tinggalkan seorang teman yang boleh dipercayai dan kebetulan sekuliah dengannya sebagai pemerhati.

Namanya Jai - saksi utama cerita ini yang ana janjikan tadi. Tengok-tengokkan saja, pesan ana; kalau ada apa-apa, lapor segera!Entah kerana apa, setahun selepas itu, hubungan yang masuk tahun ketiga itu terhenti sekerat jalan. Barangkali dihambat rutin kesibukan seorang siswa - senantiasa berkejar dengan kuliah, tutorial, assignment, peperiksaan, dan persatuan. Barangkali bosan diejek oleh kejemuan tinggal berjauhan. Barangkali juga akibat keegoan masing-masing. Ana tidak arif asbab setepatnya, dan tidak juga mahu mempertikaikan: siapa di antara kami yang memulakan tidak menghantar khabar berita. Yang pasti, kami terputus hubungan selama dua tahun. Cinta 'monyet' zaman persekolahan itu ternoktah di situ.Ana kesal juga. Rasa kasih itu masih ada. Rindu menghimpit juga kadangkala. Namun ego tinggi lelaki membunuh niat awal untuk memujuk. Biarlah masa yang jadi penentu siapa yang akan mengalah.Ditambah apabila ana bertemu pula dengan Kay, Nil hampir dilupakan terus.

Kelembutan dan kebaikan Kay - seperti Nil - mengisi sepi dan kekosongan hati ana. Kami bertemu dalam program bakti siswa dan begitu jelas sealiran minat dan bidang. Hari demi hari, kebersamaan dalam berpersatuan menambah keintiman. Menjelang semester terakhir, bimbang kasih terungkai lagi, kami muwafik mengikat tali pertunangan.Bahagia di hati ana sekejap cuma. Siapa sangka, tragedi yang juga dianggap klise dalam kisah-kisah sebegini, turut meronai kami. Takdir kadangkala hampir serupa. Kay terbunuh dalam kemalangan jalan raya selepas menduduki imtihan terakhirnya. Kesedihan tidak terucap namun air mata tidak pula keluar. Lantas ana meninggalkan utara Semenanjung sebaik tamat pengajian demi memadam memori duka. Beginikah pedihnya ditinggalkan orang tersayang?Belum sempat menganggur, ana lekas disapa jawatan akauntan di sebuah firma.

Beberapa bulan di Kuala Lumpur, ana tersua Jai yang hampir ana lupakan. Kau pacar paling tak guna! Ana terpinga-pinga. Jai memarahi ana dan mengungkit janji ana pada dirinya beberapa tahun lalu, pada Nil terutamanya. Spontan cerita silam itu bangkit semula. Pertama dan terakhir konon! Dasar pantang tengok dahi licin! Memang dia rupanya amat kesal dengan apa yang terjadi ke atas ana dan Nil sebelum ini. Telah berikhtiar menolong, berusaha menyambung kembali kasih yang terlerai; tetapi gagal setelah kehadiran Kay.

Ana terkelu dihukum menelan paku buah keras yang dipulangkan. Di mana Nil sekarang? Jangan kesal, Fal. Kau datang agak lewat. Ana terkesima. Keluhan Jai itu mulai mengundang rasa bersalah.Lantas bertalu-talu mendesak Jai memerihalkan situasi sebenar. Bagaimana dengan Nil sepeninggalan aku? Salahkan dirimu Fal, bila mendengar ceritaku ini. Usah terperanjat. Nil sekarang bukan Nil yang dulu lagi. Hidupnya hampir hancur. Hancur? Kau meninggalkannya begitu saja. Tanpa kata, tanpa pesan. Kau bukan kekasih setia. Kasihan. Dia sungguh kecewa. Ah, cinta kadang-kadang membahagiakan dan merosakkan manusia. Jai mencari kekuatan bercerita. Ana tunduk patuh. Bagai pesalah yang menghadapi algojo lagaknya.Pelajarannya hampir tersungkur.

Mujurlah ada kawan-kawan yang simpati, dan dia bangkit semula. Biarpun lukanya akibat perbuatan kejammu belum sembuh benar-benar. Dia masih mengharapkanmu. Ana hanya mampu menadah telinga dalam debar. Aku cuba menghubungimu kala itu. Tapi gagal. Ya, khabarnya kau bertemu yang baru. Hampir setahun yang lalu, Nil berkenalan dengan seorang pemuda kacukan. Ben nama timangannya. Pemuda ini kelihatan baik, terpelajar, berada, dan boleh dipercayai tetapi latar belakangnya yang sebenar tidak diketahui. Hubungan mereka intim ditambah simpati Ben terhadap dirinya. Ramai juga teman yang

meraguinya melarang, namun Ben dengan karismanya yang memikat, tetap berjaya memenangi hati Nil yang kosong. Ana menggigit bibir.

Lagipun, Ben ketara begitu ikhlas dan berminat untuk kembali kepada pengamalan Islam yang sebenarnya. Nil rasa terpanggil untuk berdakwah. Kononnya, kata Ben, keluarganya jauh dari agama. Solat, puasa, zakat entah ke mana. Hanyut kebaratan. Dia mahu Nil membentuknya ke jalan lurus kembali. Dan seterusnya, mahu menikahi Nil.Fal, kau tahu kesudahannya?Ana sekadar menggeleng. Nil terpedaya. Mereka terlanjur... . Ya Allah! Ana terkesiap amat. Menekup muka dengan tangan. Telinga ini tersalah dengar?Ya. Kisah Natrah barangkali telah dilupa. Tapi usaha memesongkan akidah gadis Melayu masih berterusan. Ben guna pil khayal. Nil kini hamil lima bulan. Pengajian terpaksa ditangguhkan. Mereka belum menikah. Dan sekarang, khabarnya Ben sedang berusaha menggoyahkan sisa-sisa keimanannya.

Ah, kau tentu faham tindakan mereka selanjutnya. Rasa berdosa serta-merta mendera. Ana sudah lama mendengar episod cerita begini. Tetapi, payah mahu percaya, ia menimpa gadis sebaiknya yang pernah ana kenali. Akukah punca semua ini?Selamatkan dia, Fal. Bisik Jai. Engkaulah orang yang paling tepat! Akulah yang bersalah membiarkannya! Rasa kasih dan kasihan deras meluap-luap. Apa yang harus aku lakukan? Lantas kami segera menjejak Nil. Memang malang. Dia telah diusir keluarganya dan terpaksa menebalkan muka, menumpang di rumah Rai, antara sahabatnya yang bersimpati. Namun Ben terus-terusan memomokkannya dari sehari ke sehari, Rai memberitahu.

Nil diugut. Ben tidak mahu bertanggungjawab dan akan memalukannya sekiranya enggan menukar agama! Alangkah malangnya nasibmu!Kekesalan yang sukar dibendung mendorong ana bertekad mahu menyelamatkannya, walau apa harganya sekalipun yang harus dibayar. Biarlah ana berkorban demi cinta murni yang pernah terjalin. Demi rasa kemanusiaan. Demi akidah sucinya!Kami dipertemukan juga setelah sekian lama terpisah. Nil berwajah lesi, terkejut dan terselingar. Pura-pura tidak mengenali ana lagi bila disapa.

Dia menangis. Rai dan Jai hanya melihat dari jauh. Membiarkan sahaja. Nil dah tak kenal Fal lagi? Fal dah tak ada dalam kamus hidup Nil lagi. Fal minta maaf. Fal sangat bersalah padamu. Maaf? Pergilah dengan cita-cita, Fal. Nil dah rosak. Percayalah! Walau apa pun, Fal masih sayangkan Nil.

Hati Fal masih macam dulu. Lupakanlah cerita silam. Kita bina kehidupan baru.Carilah gadis yang lebih suci. Nil tertawa seperti dirasuk hantu. Nil bukan gadis lagi. Fal mau terima Nil dengan perut yang boyot ini?Angguk.Fal terlalu berdosa meninggalkanmu. Fal ingin menebus dosa itu. Tawanya pupus serta-merta. Tidak percaya? Ana tidak berganjak dengan keputusan itu. Dan ana tahu, hatinya masih ada ruang untuk ana lagi. Segala-galanya berlaku begitu pantas. Dengan bantuan Jai dan Rai, Nil berjaya kami tiup keyakinan dan semangatnya semula. Tanpa pengetahuan keluarga dan kawan-kawan selain Jai dan Rai, kami menikah minggu itu juga dengan berwali hakim di pejabat agama. Menakjubkan sungguh. Macam mimpi. Ana sendiri kadangkala rasa kurang percaya. Tetapi inilah amanah Allah. Inilah cinta sebenarnya barangkali.

Ya, cinta sejati memang menagih pengorbanan. Dan Nil kadang-kadang sengaja menduga: Mengapa abang masih pilih Nil? Sebab cinta abang hanya pada Nil saja. Bukan kerana kasihan? Geleng. Bukankah sejak sekolah lagi abang cintakan Nil?Pengorbanan abang terlalu besar! Bagaimanakah Nil dapat membalasnya? Cinta sejati mesti ada ujian. Mesti ada pengorbanan. Abang pilih Nil kerana abang kasihkan Nil. Sayangkan akidah Nil. Cinta lama itu hangat semula. Auranya kembali menyelimuti kami. Bezanya kini kami di alam perkahwinan. Bahagia meronai jiwa. Berdekatan dengannya terasa jauh lebih tenteram.Namun ada cabaran lebih akbar di depan.

Bagaimana mahu menghadapi keluarga? Ya, bonda memang sudah lama merungut mahu ana cepat beristeri. Mahukan cucu katanya. Lantas, kepada bonda, ana khabarkan sudah bertemu pengganti arwah Kay, dan akan segera berkahwin pada masa yang sesuai. Justeru, kami berdua merancang sejurus Nil melahirkan bayinya nanti mahu disatukan secara beradat. Anak dalam kandungan Nil kian membesar. Bimbang diganggu oleh Ben dan khuatir terserempak dengan kaum kerabat ana atau sahabat terdekat, kami berpindah ke rumah sewa baru. Hanya Jai dan Rai sahaja yang tahu. Jiran sekeliling yang kurang mengambil peduli tidak menjadi kerisauan. Untuk beberapa bulan, ana terpaksa mengelak daripada diziarahi sesiapa demi menjaga kerahsiaan ini.

Demi kemaslahatan Nil. Kandungan Nil masuk ke bulan terakhir. Bagaimana dengan nasib anaknya nanti? Itulah yang kerap bermain-main di fikiran dan mengganggu tidur. Tentang latar belakang Nil, ana tidak bimbang. Jika ditanya kelak, jawapannya sudah ana fikirkan. Kepada keluarga, akan ana katakan, Nil anak yatim piatu. Tiada saudara-mara lagi. Kononnya ana terpesona dengannya semasa menziarahi seorang teman di rumah anak-anak yatim. Cinta selayang pandang. Jai dan Rai juga pasti dapat membantu. Sekurang-kurangnya menjadi saksi penguat cerita. Tetapi soal identiti anak di dalam kandungannya ini yang memeningkan kepala. Kelak mahu dibinkan apa? Dan masakan terlalu lekas pula kami mahu mengambil anak angkat selepas berkahwin! Apa pula kata mereka nanti? Bagaimana dengan anak ini? Tanya Nil lagi.

Anak Nil, anak abang juga. Ia tidak berdosa. Ia amanah Allah pada kita. Ana menghembuskan keyakinan ke wajah Nil yang mulai ceria.Abang terlalu baik! Demi cintamu, Nil!Ana hanya pasrah pada takdir. Tawakal. Ana yakin, selagi perbuatan ana tidak menyalahi agama, rahmat Allah sentiasa bersama. Pasti ada reda-Nya. Salahkah tindakan ana selama ini? Bukankah ini pengorbanan demi cinta sejati?Suatu malam, Nil mengadu sakit perut. Nafasnya nampak lelah. Kainnya juga sudah lencun basah. Lalu kami berkejar ke hospital. Barangkali masa kelahirannya sudah karib. Didorong cinta yang makin kental, ana cuba menyelit masuk bersama, tetapi ketegasan doktor menghalang.

Hanya pandangan sayu terakhir Nil yang sedang berkerut menahan sakit menjadi bekal ana kala menunggu. Ana gelisah di luar dalam pada Nil di dalam sedang bertarung dengan maut. Tuhan sahaja yang Mahu Tahu hati ana waktu itu. Menanti legaran waktu, dalam debaran yang tidak menentu, alangkah sengsara! Doktor yang menghalang ana tadi keluar semula. Ana lekas menerpa.Bagaimana isteri saya, doktor? Err, diharap encik dapat bertenang. Nil yang menghidapi asma dikatakan menghadapi kesukaran sewaktu melahirkan. Bayinya yang songsang pula lemas.

Tuhan lebih menyayanginya. Maafkan kami. Kedua-duanya gagal diselamatkan. Alangkah lekasnya pertemuan semula, kini perpisahan pula menjelma? Lutut terasa longgar. Air mata tidak dapat ana bendung lagi sewaktu menatap jenazahnya yang damai. Menangis semahu-mahunya!Demikian Nil pergi. Syahid di akhirat bersama puterinya yang ana namakan seperti namanya - Husnil Khatimah. Kehilangannya begitu terasa berbanding kepergian Kay dulu. Namun ana reda, sekurang-kurangnya ana telah melaksanakan sebuah amanah Tuhan.Ia tamat di situ. Ya, memang ini bukan sekadar cerita cinta tetapi memori sedih. Pelik bukan? Cinta bukan sahaja hadir tiba-tiba malah kadang-kadang lahir dari rasa kasihan. Dan seringnya pengorbanan akan ditagih cinta sejati, yang cuma satu dalam seribu. Apakah anta percaya?

Kredit kepada penulis cerpen ini

1 Comment:

  1. mOOn said...
    best!

Post a Comment




 

Original Blogger Template | Modified by Blogger Whore | Distributed by eBlog Templates