Taubat Segera

Taubat segera

Oleh Malik Muhamad
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Orang ramai terutama masyarakat Islam yang menyertai pelaburan melalui Internet diminta segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan kerana skim berkenaan tidak menepati hukum syarak.

Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya, berkata skim berkenaan menimbulkan ‘syubhah’ kerana pelabur tidak mengetahui perjalanan sistem pelaburan itu serta jenis perniagaan dilakukan.

Selain itu, katanya, skim berkenaan juga tidak mempunyai sebarang kontrak kerana pelabur tidak tahu individu yang mengendalikan skim berkenaan yang dikhuatiri terdedah kepada masalah penipuan.

“Oleh itu, saya nasihatkan mereka yang menyertai pelaburan melalui Internet itu segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan kerana skim berkenaan tidak menepati hukum syarak,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Metro Ahad, semalam, yang menyiarkan laporan pelaburan menerusi Internet yang disifatkan sebagai saham neraka.

Ismail berkata, masyarakat Islam sepatutnya mengkaji dulu sebelum membuat pelaburan sama ada perniagaan dilakukan halal atau sebaliknya selain berasaskan sistem yang betul dan bukan berbentuk penindasan.

Menurutnya, sebelum seseorang itu melabur, niat mereka perlu betul dan ikhlas iaitu melabur bertujuan mencari rezeki halal, ibadah dan mendapat keredaan Allah.

“Tidak sempurna ibadah berkenaan jika bentuk dan cara pelaburan yang dijalankan itu tidak menepati hukum syarak,” katanya.

Ismail juga kesal bagaimana ramai masyarakat Islam termasuk di negeri ini yang sanggup menyertai skim pelaburan berkenaan walaupun mengetahui pelaburan dijalankan tidak memenuhi hukum syarak.

“Jika tidak tahu, mereka sepatutnya bertanya kepada jabatan berkaitan atau merujuk kepada pakar ekonomi Islam bagi mengetahui lebih lanjut sama ada skim itu halal atau sebaliknya.

“Mereka sepatutnya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran lumayan diberikan. Kita bimbang yang berpangkalan di luar negara ini menjadi wabak serius kepada umat Islam sekali gus mengundang pelbagai masalah kekeluargaan.

“Contohnya, jika wang diperolehi hasil pelaburan yang tidak memenuhi syarak itu digunakan untuk kehidupan keluarga, ia bakal menjadi darah daging dan boleh merosakkan pemikiran umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, bagi yang sudah terlanjur, mereka perlu menghentikan segera pelaburan itu selepas mengambil semula modal dilaburkan.

“Bagi yang sudah mendapat keuntungan dan membelanjakan wang hasil pelaburan Internet itu, mereka perlu menyerahkannya kepada baitulmal,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment




 

Original Blogger Template | Modified by Blogger Whore | Distributed by eBlog Templates