Cerita sedih

Maafkan saya kerana saya tidak bijak mengarang. Saya bukan penulis. Apa
yang saya ingin ceritakan pun hanyalah tetang monyet, haiwan yang sering
jadi bahan sendaan kita, bukannya tentang wang, saham, barang kemas,
kekasih yang jelita mahupun banglo besar. Saya tidak bijak bercerita
tentang itu.

Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang
saudara. Sewaktu kereta melalui hutan rekreasi Hulu Bendul di Kuala
Pilah, nun di depan sana, saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir
di sisi jalan yang sibuk. Ia seperti terburu-buru untuk melintas.

Saya terus memandu dan sewaktu kereta semakin hampir, saya terkejut
kerana ada seekor monyet menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar
salah sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan
memperlahankan kereta.

Kereta semakin hampir dan dada ini berdebar apabila melihat monyet itu
terus menggelupur dan menghempas-hempas ke atas jalan. Kakinya
terketar-ketar. Di sisinya ada darah dan cebisan daging.

Tapi paling menyentak perasaan saya ialah apabila melihat perutnya yang
buncit itu terburai, dan dari celah luka besar itu tersembul sesuatu
berwarna kelabu. Tahukah pembaca, benda apakah yang saya lihat itu?

Benda kelabu itu adalah anak yang masih dalam kandungannya! Pada ketika
itu saya terasa tubuh ini menggeletar. Saya pasti, si ibu monyet tadi
akan mati sebentar lagi. Begitu juga dengan anaknya, nyawanya melayang
sebelum sempat melihat wajah ibu.

Sebaik melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Saya nampak
kawanan monyet tadi bercempera. Ia berlari-lari mendapatkan si ibu tadi,
tapi kemudian bertempiaran semula ke tepi jalan kerana hampir saja
dilanggar kenderaan yang lalu-lalang.

Mungkin kepada pembaca sekalian, apalah ada pada nyawa seekor monyet. Ia
hanya monyet. Haiwan hodoh. Hidupnya di hutan, tidak setaraf dengan
manusiawi.

Tapi tidak kepada saya. Pulang bercuti, saya terus catatkan surat ini,
kerana peristiwa yang saya sebutkan tadi sebenarnya telah mengingatkan
saya kepada sebuah peristiwa yang berlaku pada awal 1990-an.

Ketika itu usia saya masih di awal 20-an. Hari itu, saya diajak oleh
seorang bapa saudara untuk memburu di hutan berhampiran rumah. Saya
bukanlah minat memburu, tapi daripada bosan terperap di rumah, saya
terima ajakan bapa saudara saya tadi.

Masih saya ingat, beberapa jam berburu, matahari pun sudah meninggi, tapi
tiada seekor haiwan pun melintas di hadapan kami. Pelanduk, napuh,
rusa, ayam hutan dan burung yang selalu berlegar di hutan itu,
seolah-olah bersembunyi jauh dari kami. Hutan itu sepi.

Saya bertambah rimas, pak cik pula saya lihat mula kecewa. Hari kian
beranjak petang, pak cik menepuk-nepuk senapang Relanya. Kata pak cik,

"Kita balik ajalah, hari ni tak ada apa-apa. Mungkin esok ada habuan."

Kami berjalan pulang, tapi selang dua tiga puluh langkah, kami terdengar
suara riuh-rendah di sebalik pokok-pokok besar di hadapan kami. Saya
mengamati suara itu, ternyata ia datang dari sekawan monyet yang sedang
memakan buah-buah hutan.

Saya perhatikan pak cik begitu berminat memerhatikan haiwan itu. Di
bibirnya ada sebaris senyuman. Senyuman yang saya faham benar maksudnya.

Adakah pak cik hendak menembak monyet-monyet itu?

"Haa. Pak cik nak tembak ibunya, lepas tu pak cik nak ambil anaknya,
nanti boleh bela," begitu jawapan pak cik.

Masih saya ingat juga, saya beberapa kali mendesak pak cik supaya
membatalkan hasratnya itu, tapi gagal. Saya gagal mengendurkan niatnya.


Tidak akan saya lupa kata-kata pak cik petang itu:

"Daripada balik tangan kosong? "

Lalu dia mengacukan senapangnya ke arah kawasan monyet tadi, dan ?


DAMMM!!!

Demi berdentum saja senapang, bercempera dan lintang-pukang monyet-
monyet tadi menyelamatkan diri. Hutan itu riuh dengan bunyi ranting
patah serta jerit pekik haiwan berkenaan.

BUUUPP! Ada suatu benda yang jatuh ke tanah.


Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berdekatan kami. Saya dan pak
cik terus mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat.
Anaknya yang tidak mengerti apa-apa terlepas dari pelukan, tercampak
tidak jauh dari ibunya sambil menjerit-jerit.

Si ibu merengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah.
Ia cuba bangun. Dengan bersusah payah sambil tangannya mencapai akar-akar
pokok untuk mendekati anaknya. Sebelah tangan lagi menekap perut yang
masih berdarah.

Ia berusaha melangkah tapi terjatuh semula. Digagahi lagi sambil
berguling-guling ke arah anaknya. Si anak yang baru pandai berjalan
jatuh, bangun mendapatkan ibunya.

Si anak itu terus saja memeluk ibunya yang kesakitan. Masih terbayang
jelas di ingatan saya bagaimana si ibu monyet tadi memegang tubuh dan
menatap wajah anaknya puas-puas, kemudian dicium berkali-kali. Setelah
itu dibawa si anak ke dada lalu disuakan susunya.

Saya dan pak cik terdiam melihat si anak menghisap susu manakala ibunya
mengerang-ngerang perlahan seakan memujuk sambil menahan sakit. Hati
saya tersentuh. Betapa si anak yang baru melihat dunia tidak tahu bahawa
ibu tempat dia bermanja akan pergi buat selama-lamanya.

Saya tidak mampu menyelami fikiran ibu monyet tadi, tapi mungkin ia ingin
memeluk anaknya buat kali terakhir, sepuas-puasnya, kerana selepas ini ibu
akan pergi.

Ibu tidak akan dapat memelukmu lagi apabila kau kesejukan, menyuap
mulutmu bila kau merengek kelaparan, juga melindungimu bila kau
kepanasan.

Mata si ibu monyet itu memandang ke arah kami. Tangannya memeluk erat si
anak seolah-olah enggan melepaskannya, biarlah ia mati bersama anaknya.

Matanya saya lihat digenangi air, masih tidak lepas memandang kami
dengan pandangan sayu, mungkin ingin menyatakan betapa kejamnya manusia.

Dosa apakah yang aku lakukan hungga aku ditembak? Salahkah aku bebas ke
sana ke mari di bumi indah ciptaan Allah ini? Tubuh ibu monyet itu
berlumuran darah, begitu juga dengan si anak yang masih di pelukannya.


Beberapa detik kemudian, dengan tenaga yang masih berbaki, kami lihat si
ibu mencium anaknya untuk ke sekian kalinya. Perlahan-lahan tubuhnya
terkulai ditanah, bisa penabur dari muncung senapang pak cik tadi tidak
dapat ditanggung lagi.


Si anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan melarikan diri
dari situ, tapi si ibu sudah tidak bernyawa lagi. Puas menjerit, si anak
tadi menyusu semula.

Di saat itu perasaan saya terlalu sebak. Saya perhatikan pak cik, dia
beberapa kali menggetap bibir cubamenahan air matanya daripada tumpah
ke pipi.

Tapi bila melihat si anak monyet tadi menjerit dan menggoncang-goncang
tubuh ibunya, akhirnya air mata kami tumpah juga. Saya betul-betul kesal
dengan apa yang berlaku.

Suasana sunyi kembali. Si anak monyet itu kami rangkul dan bawa pulang.
Biarpun ia terus menjerit-jerit dan enggan berpisah dengan ibunya yang
telah mati.

Di dalam kereta saya hanya mendiamkan diri. Begitu juga pak cik. Pada
ketika itu saya dapat merasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh
satu nyawa yang tidak berdosa. Biarpun monyet itu hanya haiwan yang
hodoh, tapi mereka juga ada perasaan, ada rasa kasih kepada anak, rasa
sayang kepada ibu. Tapi kita manusia??

Mana hilangnya akal waras kami?

Selang dua minggu kemudian, anak monyet tadi mengikut jejak ibunya. Pak
cik memberitahu saya, anak monyet itu tidak mahu makan dan asyik
menjerit-jerit sahaja. Mungkin ia rindukan ibunya. Apabila malam,
keadaannya bertambah teruk, dan akhirnya mati.

Kini saya sudah bekerja dan berumah tangga. Peristiwa tadi sudah saya
ceritakan kepada anak dan isteri saya agar mereka mengerti bahawa haiwan
juga punya perasaan. Yang kejam adalah manusia, walaupun kitalah
satu-satunya makhluk yang Tuhan anugerahkan akal fikiran.

Tidak lupa saya memberitahu mereka betapa agung dan sucinya kasih sayang
ibu.

0 Comments:

Post a Comment




 

Original Blogger Template | Modified by Blogger Whore | Distributed by eBlog Templates