19-09-2007 10:08:58 AM
Oleh MOHD DZUL KHAIRI MOHD NOOR
LENIN berpendapat kemuncak kepada imperialisme dalam ekonomi ialah semua orang berpaksikan sistem ekonomi kapitalis. Sistem kapitalis jelas ditolak oleh kita lantaran ia hanya memberikan keuntungan kepada orang kaya sahaja sedangkan orang miskin terus tertindas. Di samping itu juga sistem ini menggunakan unsur-unsur riba yang tertolak kaedahnya menurut pandangan dan kaca mata agama. Malah, secara cukup tersembunyi, sistem ini memberikan kekayaan secara implisit kepada satu golongan di belakang tabir yang tidak kita kenali.
Norman Daniel dalam ”Islam, Europe, and Empire” mendedahkan tujuan imperialisme atau penjajahan sebenarnya bermatlamatkan ke arah melahirkan sebuah empayar. Empayar ini pastinya empayar yang penuh dengan kebobrokan dan penyelewengan minda dan budaya berasaskan perancangan-perancangan ataupun protokolat-protokolat yang disidangkan oleh para pemikir cerdik pandai Zionis.
Antara strategi peperangan daya pemikiran dalam dimensi dan versi baru ini, yang jelas sangat dibimbangi para ulama berbanding peperangan yang menumpahkan darah ialah mengaburi mata rakyat supaya tertumpu kepada kecintaan berlebihan terhadap kehidupan dunia dengan mengumpulkan harta benda tidak kira sama ada secara haram atau halal. Gejala ’sakrat’ bertunjangkan kejahilan yang sukar untuk diubati dan penyakit cintakan dunia lupakan kenikmatan akhirat semakin menjadi-jadi.
Rasuah adalah satu jenayah atau kesalahan undang-undang di mana seseorang mendapat kebebasan, kontrak, atau keistimewaan (favours) daripada pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Ini merupakan definisi yang diberikan berkaitan tentang rasuah.
Rasuah menurut Bahasa Latin berasal daripada corruptio, iaitu daripada kata kerja corrumpere yang membawa erti busuk, rosak, menggoyahkan, memutar belit, dan menyogok. Cukup menarik apabila takrifan yang diberi merujuk kepada ‘busuk’ yang pastinya memualkan dan meloyakan. Secara tidak langsung, mesej yang paling jelas ingin disampaikan melalui pengertian rasuah ialah ia merupakan satu perilaku yang sangat terkutuk dan dibenci bukan sahaja agama malah kemanusiaan sekalipun menolaknya secara total.
Mengikut Tranparency International, rasuah adalah perilaku di jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat awam, termasuklah para politikus dan pegawai-pegawai yang secara tidak wajar dan tidak sah menurut undang-undang.
Rasuah mencakupi empat perkara:
1- Melanggar undang-undang yang dikuatkuasa
2- Penyalahgunaan harta negara
3- Merugikan negara
4- Memperkayakan diri sendiri dan kerabat
Manakala Badan Pencegah Rasuah (BPR) meletakkan empat kesalahan utama dalam rasuah merangkumi:
1- Meminta/ menerima rasuah
2- Menawar/ memberi rasuah
3- Membuat tuntutan palsu
4- Menyalahguna jawatan/ kedudukan
Boleh dikatakan bahawa rasuah merupakan cabang daripada korupsi. Dalam tulisan Wan Mohd Nor Wan Daud, beliau membicarakan soal pembangunan. Tegas beliau, tidak tepat jika kita katakan lawan kepada pembangunan adalah kemunduran, sebaliknya kalimah yang paling tepat untuk dikatakan antonim pembangunan ialah korupsi. Maka, rasuah, riba, atau apa sahaja jika ia dikatakan mampu memberikan satu peluang kepada pembangunan, maka hendaklah diketahui juga bahawa ia juga penyumbang utama kepada korusi itu sendiri.
Antara jenis korupsi ialah jenayah kolar putih. Rasuah adalah salah satu daripadanya. Skandal BMF, Pan Electric, Koperasi-koperasi Penerima Deposit dalam tahun 1980-an dan lain-lain, adalah antara jenayah kolar putih yang bertaraf profesional yang telah berlaku.
Korupsi pula merangkumi lima elemen:
1- Melanggar hukum atau peratuan
2- Penyelewengan kuasa sewenang-wenangnya
3- Merugikan negara
4- Memperkaya diri sendiri
5- Amalan pilih kasih seperti nepotisme dan kronisme
Dr Denis Osborne, seorang pakar pengurusan awam dan etika dalam satu majlis berucap:
”Kesan rasuah lebih menyeluruh termasuk wujudnya jenayah yang akan mengancam nyawa masyarakat dan juga menggugat kepercayaan mereka terhadap kerajaan”
Beliau turut menjelaskan perlakuan rasuah sampai ke peringkat membunuh. Contoh, apabila polis dan hakim menerima rasuah daripada pembunuh.
Dr K. J. John pula, seorang perunding Pembangunan Dasar berkata: ”Pembangunan di Malaysia juga masih terlalu didefinisikan secara materialistik manakala budaya dan amalan penjawat awam pada masa kini mendorong kepada perlakuan rasuah”.
Keadaan ini bagi beliau timbul hasil daripada kesan sistem pengurusan awam di Malaysi yang memerlukan keseimbangan kuasa di antara badan pentadbiran, perundangan, dan kehakiman.
Pandangan beliau menyatakan pembangunan di negara kita masih bertunjangkan kebendaan semata-mata sehingga aspek-aspek pembangunan rohani amat kurang sekali dititik-beratkan. Hasilnya, meskipun sesebuah negara itu bertambah maju seperti negara di blok pertama, namun kes-kes jenayah dan perilaku buruk makin bertambah dari semasa ke semasa.
Sebagai contoh kadar perceraian di 10 buah negara termaju dunia mengikut penilaian Human Development Index adalah berada pada paras yang sangat membimbangkan. Di Kanada mencecah 49%, France 43%, Sweden 67%, dan Belgium 68%. Itu baru dikira dari sudut perkahwinan sedangkan realitinya ramai juga yang tidak berkahwin dan hanya menjalinkan hubungan seks secara bebas.
California sendiri pernah merangka untuk membina lebih banyak penjara berbanding universiti. Dalam kes yang lain, kerajaan Thailand telah mengalami kerugian hampir RM14 bulion disebabkan rasuah dan korupsi. Cina pula telah mengalami kerugian sekitar RM41 bilion. Angka ini sangat memeranjatkan.
Pembangunan yang tidak bersendikan nilai keagamaan dan akhlak ini menyebabkan kehidupan semakin menjadi tidak teratur dan terurus sehingga menyebabkan kucar-kacirnya nilai-nilai norma dan normal manusiawi. Satu kajian dalam Phschological Abstracts 1967-1994 (27 tahun) mendapati:
1- Terdapat 46,380 makalah tentang tekanan perasaan (depression)
2- 36,851 makalah tentang kebimbangan (anxiety)
3- 5,099 makalah tentang kemarahan (anger)
Sebaliknya, hanya terdapat 2,389 makalah membicarakan tentang kebahagiaan, 2,340 tentang kepuasan hidup (life satisfaction), dan 405 tentang keseronokan.
Ini jelas bahawa kehidupan yang penuh dengan kebobrokan dan mengesampingkan nilai-nilai murni akan mengakibatkan satu kehampaan norma dalam kehidupan sebagaimana pernah dijelaskan oleh bapa sosiologi Emile Durkheim berkenaan Anomie (kehampaan norma). Anomie merupakan satu gejala rohanui disebabkan manusia sudah tidak mempedulikan bagaimanakah caranya untuk mendapatkan wang.
Terdapat beberapa keadaan yang mencetuskan rasuah. Mungkin boleh dinyatakan di sini beberapa elemen:
1- Pemusatan kuasa, terutama dari kalangan para pembuat dasar
2- Kurangnya ketelusan dalam urusan pentadbiran kerajaan
3- Kempen-kempen politik yang mahal
4- Projek mega yang melibatkan penggunaan wang pembayar cukai yang besar
5- Kelemahan sistem perlaksana dan kehakiman
6- Gaji penjawat awam yang kecil
Rasuah merupakan musuh pembangunan. Ia membantutkan perkembangan ekonomi dan merencatkan perjalanannya. Para pakar ekonomi berpendapat, beberapa buah negara Asia dan Afrika sangat lemah daripada sudut perkembangan ekonomi khususnya di Afrika kerana rasuah berbentuk ”penagihan sewa” yang menyebabkan perpindahan penanaman modal ke luar negara, bukan dalam negara.
Mengikut jabatan Mufti Brunei, terdapat beberapa faktor, ancaman, dan kesan yang besar dampaknya bahana rasuah. Antara faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya rasuah ialah:
1- Hilang atau lemahnya nilai keagamaan
2- Tabiat manusia yang amat sukakan harta kekayaan
3- Tidak amanah
4- Tidak ada penerapan hukum agama
5- Kurang kefahaman atau tidak faham langsung dengan konsep serta ajaran Islam secara betul dan menyeluruh
6- Banyak berhutang
7- Tamak
8- Kepimpinan dan pentadbiran yang lemah
9- Faktor sosial yang menganggap rasuah sebagai satu cara hidup
10- Belanja hidup yang kian meningkat
Manakala ancaman terhadap orang yang terlibat dengan rasuah sama ada secara langsung atau tidak ialah:
1- Mendapat murka dan laknat daripada Allah SWT
2- Mandapat kutukan dan amarh daripada Rasulullah SAW
3- Tidak mendapat rahmat, taufiq, dan hidayat
4- Akan disambar api neraka
5- Satu dosa yang besar
6- Haram, maka doa tidak akan diterima Allah SWT
Rasuah juga bukan sahaja memberikan kesan yang negatif kepada individu, malah juga kepada masyarakat dan negara. Kesan kepada individu ialah seperti berikut:
1- Hilang kerjaya
2- Jatuh moral dan maruah
3- Terima hukuman di dunia dan di akhirat
4- Hancur keharmonian rumah tangga
5- Keluarga terabai
Kesan kepada masyarakat pula:
1- Ketidakadilan disebabkan mengenepikan hak-hak orang tertentu
2- Menggalakkan malah melindungi penjenayah
3- Memburukkan lagi taraf kemiskinan
Kesan kepada negara:
1- Menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran
2- Menjejaskan sosial serta kestabilan politik serta keselamatan
3- Tumpuan pembangunan tidak seimbang
4- Kenaikan kos barang dan perkhidmatan
5- Mengurangkan pendapatan negara
6- Menurunkan mutu dan kualiti kerja atau produk yang dihasilkan
Di samping itu, terdapat tiga penanda aras rasuah yang telah ditetapkan oleh Transparency International iaitu:
1- Indeks Persepsi Rasuah (berdasarkan pendapat ahli tentang kekorupan negara-negara dunia)
2- Barometer Rasuah Global (berdasarkan tinjauan pandangan rakyat tentang persepsi dan pengalaman berdepan gejala rasuah)
3- Tinjauan Pemberi Sogok
Sebenarnya, kejadian ahli politik mencoreng arang ke muka lawan masing-masing dengan tuduhan rasuah adalah satu perkara biasa. Teknik ini pernah digunakan oleh Zhu Rongji, dan yang terkini digunakan oleh Hu Jintao. Ini disebabkan apabila pegawai dituduh terlibat dengan kes rasuah meskipun belum lagi dipastikan kebenarannya, ia sudah mampu untuk mencemarkan nama baiknya.
Justeru, terbentang di hadapan kita satu dilema permasalahan yang cukup kronik dan rumit untuk diselesaikan. Sebagaimana yang disebut oleh Datuk Ahmad Zaki, BPR memerlukan kaki tangan yang lebih ramai lagi untuk membasmi gejala yang tidak bermoral ini. Ini disebabkan pada masa sekarang seorang pegawai BPR terpaksa mengendalikan 13 kes setahun dan ini pasti suatu yang membebankan. Manakala hali sebaliknya berlaku di negara-negara maju yang mana seorang pegawai hanya perlu mengendalikan sekitar empat kes setahun.
Pandangan Perdana Menteri supaya siasatan terhadap kes rasuah mestilah dilakukan dengan hati-hati dan teliti supaya tidak berlaku kesilapan dalam mengenakan tindakan harus dititkberatkan. Katanya: ”I am very worried and fearful that a miscarriage of justice might occur through over hasty action, and the person accused is later seen as being victimized”.
Namun, dalam masa yang sama, tidak patut bagi BPR untuk terlalu berhati-hati sehingga menyebabkan operasi mengatasinya masih berada di tahap yang sama, statik, dan tidak menunjukkan peningkatan ke arah daya yang lebih baik.
Satu operasional dan evolusi bertindak secara sistematik dan terancang mesti dirangka dan diambil tindakan dengan segera. Penanaman nilai-nilai murni ke dalam diri pegawai-pegawai kerajaan seharusnya dibuat mulai sekarang tanpa bertangguh lagi. Kursus-kursus yang dianjurkan jangan hanya melihat kepada pembangunan jati diri berbentuk luaran semata-mata bahkan juga melihat kepada aspek pembangunan rohani yang berteraskan agama.
Dalam konteks yang sama, kerajaan semestinya mengerti bahawa kesempitan hidup akan memaksa seseorang melakukan perkara di liar dugaan. Belitan kemiskinan dan penderitaan disebabkan tanggungan keluarga dan sebagainya, apatah lagi di era yang kian sarat dengan cubaan dan kos kehidupan yang tinggi semestinya menjadi faktor implisit yang menyumbang ke arah menyuburkan gejala yang tidak sihat ini.
Baja-baja keimanan sahaja tidak cukup untuk membentengi seseorang daripada menjauhkan diri daripada rasuah jika prasarana atau khidmat kerajaan terhadap rakyat tidak ditingkatkan. Secara praktikalnya, tidak dinafikan gaji penjawat awam harus ditingkatkan mengikut realiti semasa dan kos kehidupan haruslah diperhatikan agar jangan sampai membebankan orang lain.
Satu persidangan dan bengkel yang menghimpunkan para cerdik pandai, para ulama’ dan pegawai-pegawai kerajaan, pegawai-pegawai BPR dan pihak berwajib dengan tidak mengecualikan parti pembangkang dan para pimpinan mahasiswa harus diadakan segera bagi membincangkan satu resolusi penyelesaian segera mungkin.
Nota Editor: Penulis adalah presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
2 Comments:
-
- haley said...
April 15, 2009 at 2:43 AMthx for the article..help a lot for my assignment- Unknown said...
August 27, 2009 at 2:16 AMsememangnya memperlihatkan kesungguhan saudara dalam penulisan artikel ini. namun demikian, sekiranya boleh, attachkan sekali rujukan-rujukan buku atau penulisan supaya pembaca boleh mengetahui sama ada sumber yang dipetik itu 'reliable' dan juga memudahkan pembaca mencari bahan rujukan tersebut
Subscribe to:
Post Comments (Atom)