Ciri-ciri tipikal lelaki - macho, sasa dan pelindung mungkin tidak lagi relevan dalam memikat hati wanita sekarang. Jika anda lelaki berwajah bersih dan mahu menukar gaya penampilan, sekarang mungkin waktu sesuai!
Suatu kajian yang dilakukan ke atas wanita di United Kingdom (UK) baru-baru ini memberikan keputusan yang wajar difikir lelaki dalam menata gaya. Mengikut kajian itu, lelaki sekarang tidak lagi perlu mencukur bersih wajah mereka kerana wanita lebih tertarik kepada lelaki yang menyimpan jambang.
Responden yang ditemui menyifatkan lelaki dengan jambang pendek sebagai gagah, matang, agresif, menonjol dan sasa. Lelaki dari kategori ini dianggap paling sesuai dijadikan pasangan romantik sama ada untuk hubungan singkat atau jangka panjang.
Hasil kajian itu yang dijalankan ke atas wanita Britain berusia 18 hingga 44 tahun, mungkin menjelaskan tarikan yang dimiliki aktor seperti George Clooney dan Brad Pitt yang menawan ramai wanita dengan membiarkan wajah mereka tidak dicukur bersih.
Bagi kebanyakan wanita, lelaki yang menyimpan misai, jambang dan janggut lebih terserlah sifat kelelakiannya berbanding lelaki tidak bermisai dan berjanggut yang ada kalanya mereka gelar 'jambu' atau 'pretty boy'.
Misai dan janggut juga secara tidak langsung dapat membuatkan seseorang lelaki kelihatan lebih matang dan dominan, dua kualiti yang dicari rata-rata wanita.
Minat wanita juga berbeza-beza. Ada yang sukakan lelaki yang cuma menyimpan misai saja, ada yang suka pada lelaki yang menyimpan jambang saja dan ada yang terpikat pada yang memiliki kedua-duanya; misai dan jambang.
Paling penting, misai dan jambang ini dijaga rapi dan tidak dibiarkan kelihatan bersepah kerana ia boleh menimbulkan pandangan bahawa anda seorang yang tidak terurus.
Sesetengah lelaki kelihatan menarik bila mempunyai misai, jambang atau janggut tapi ada juga yang tidak sesuai dengan penampilan sebegitu. Jika ramai yang memberi komen negatif mengenai penampilan anda yang bermisai, berjambang atau berjanggut - mungkin ia tidak sesuai dengan wajah anda.
Jadi, jika anda ingin mengetahui sama ada diri lebih menarik dengan misai dan jambang ataupun tidak, lebih baik kiranya anda tanyakan kepada rakan wanita di sekeliling anda.
Apa yang pasti, bermisai, berjambang ataupun tidak, semua ini adalah tarikan fizikal semata-mata.
Hakikatnya, biarpun seseorang lelaki itu 'lulus' dari segi penampilan fizikalnya di mata wanita tapi 'gagal' dari segi sikap dan keperibadian, misai, janggut, kumis atau jambang yang paling menawanpun tidak akan memberi sebarang makna.
INFO:
- Designer stubble atau jambang pendek (baru tumbuh) mampu membuatkan anda tampak lasak dan menyerlah, bergantung kepada bagaimana anda merapikannya. Gaya seperti ini selalunya sesuai dengan ramai lelaki tidak kira sama ada yang bersifat romantik. sofistikated atau bersahaja. Selain itu, gaya ini dikatakan tidak akan ketinggalan zaman.
- Jika anda mempunyai wajah 'baby face', dengan pipi bulat dan comel, designer stubble dapat membuatkan bahagian rahang anda tampak lebih cengkung selain menyembunyikan dagu yang berlapis.
- Gaya ini sesuai untuk anda yang kurang gemarkan suasana formal dan penampilan ini juga boleh dibawa ke pejabat asalkan anda sentiasa memastikan ia rapi.
- Bagi mendapatkan gaya ini, anda boleh bercukur selang dua hari. Terpulang kepada anda sama ada sesuai atau tidak sesuai untuk anda membiarkan jambang yang tumbuh di sekitar bahagian leher.
- Kenal pasti secepat mana pertumbuhan misai dan jambang supaya anda boleh menetapkan rutin perapiannya.
Labels: lelaki