Anda adalah manusia. Yang tidak tahu semua benda. Yang buat salah silap.
Justeru, dalam menguruskan wang, anda perlu ada beberapa orang yang penting untuk membantu anda.
Pasangan Anda
Sekiranya anda suami, maka isteri anda. Sekiranya anda seorang isteri, maka suami anda.
Sekiranya anda masih bujang, calon pasangan anda perlu seseorang yang boleh memahami kenapa anda sanggup pakai kereta buruk untuk beberapa tahun.
Tukar topik perbualan dari,
- “You kahwin dengan I nanti nak anak ramai tak?”
- “Kalau tak percaya belah lah dada I”
kepada
- “I nak pakai Kanc Classic 660 untuk tempoh 5 tahun lepas kita kahwin, you ok tak?” atau,
- “Apa kata hantaran kahwin nanti adalah simpanan ASB 5000, simpanan Tabung Haji RM 5000 dan perlindungan takaful wanita bernilai RM 100,000 , family you boleh terima tak ?”
Orang Lama
Anda mungkin kenal seseorang yang sudah lama terlibat dalam bisnes dan pelaburan. Nampak je sempoi tetapi dalam bank duit banyak. Berbanding dengan anda, sentiasa kemas bertali leher tetapi duit habis sahaja hujung bulan.
Ia boleh jadi pakcik, makcik, datuk, nenek dan jiran sebelah rumah.
Kalau tidak tahu sesiapa, jangan lupa selalu balik kampung atau berkenal-kenal dengan jiran tetangga.
Kalau ibu atau bapa anda sendiri memang orang lama, itu lagi mudah.
Kawan Sebaya yang Berpengalaman
Ia tidak semestinya sebaya. Tetapi yang lingkungan umurnya yang tidak jauh berbeza.
Yang anda boleh ajak ngeteh. Yang anda boleh sms macam member. Yang anaknya dengan anak anda sebaya. Yang anda boleh bertanya isu kewangan yang anda malu nak tanya kepada orang lain.
Sudah tentu yang berpengalaman dalam bisnes dan pelaburan.
Bukan yang berpengalaman join skim cepat kaya.
Penasihat Kewangan
Financial Planner. Tetapi di Malaysia agak sukar anda untuk mendapat licensed financial planner yang bebas. Bebas yang dimaksudkan di sini adalah yang tidak terikat dengan mana-mana institusi kewangan, justeru, yang boleh memberikan pandangan tanpa bias dengan mana-mana produk kewangan.
Sekiranya anda memang zero dan tidak mampu untuk mencari maklumat sendiri, dan anda tiada orang lama dan kawan yang berpengalaman di sekeliling, anda sudah tentu perlu mencarinya untuk membantu anda.
Ejen / Broker
Sekiranya anda sudah jumpa seorang ejen hartanah, ejen insurans, broker saham yang baik, jadikan ia kawan anda.
Layan mereka tinggi sikit dari ejen / broker biasa yang hanya tahu nak kutip duit komisyen dari anda.
You’ll get something great in return.
Peguam
Kalau anda hilang RM 5000 mungkin anda rasa tidak perlu ada peguam. Tetapi bila anda sudah nak buat deal lebih dari itu mungkin anda perlu dapatkan sedikit sebanyak nasihat guaman.
Peguam ini mungkin “buta kewangan” juga. Tetapi sekurang-kurangnya dia tahu bahasa peguam yang lain.
Sekiranya anda tidak tahu perbezaan dari sudut undang-undang antara …
- “You shall pay … ” , dan
- “You may pay … “
Maka cepat-cepatlah berkawan dengan mana-mana peguam.
Akauntan
Masalah yang biasa berlaku adalah, anda ada income, tetapi disebabkan anda tidak merekodkan pendapatan anda itu dengan baik, maka anda susah nak jadikan ia supporting document untuk urusan tertentu.
Anda juga kadang-kadang tidak tahu dan terlupa tentang isu-isu cukai.
Alah, syarikat anda tidak ada accounting department ke ?
Banker
Pegawai kanan. Pengurus lagi bagus.
Ada perkara anda boleh bawa berbincang. Negotiation.
Pembiayaan / pinjaman yang ditawarkan kepada anda selalunya kontrak yang bersifat umum. Semua orang dapat kontrak yang sama. Tetapi kenapa tidak cuba minta sesuatu terma & syarat yang lebih baik ?
Ingat, bank selalu bersifat pemurah memberikan payung semasa hari cerah dan mengambilnya balik semasa hari hujan.
Khusus untuk Graduan
Masa belajar di universiti, jangan berkawan dengan geng satu fakulti sahaja. Kawan dengan ramai orang. Bergaul. Bersosial. Sertai pelbagai aktiviti.
Anda mungkin tidak perlukan khidmat nasihat professional itu sekarang, tetapi anda pasti memerlukannya 10 tahun akan datang.
Kalimah Keramat
Buku orang Barat selalu petik Bible yang ada menyebut :
Ask and thou shall recieve
Maka ketahuilah dalam Quran pun ada …
Maka bertanyalah kepada ahli ilmu sekiranya kamu tidak mengetahui (an-Nahl : 43)
Dan juga melalui Hadis …
Khabarkan lah kepada ku tentang … (Hadis Iman, Islam & Ihsan)
Maka janganlah malu-malu untuk bertanya kepada mereka yang telah disebutkan di atas ini.
Sumber: Pakdimy
Labels: artikel, tip kewangan
1 Comment:
-
- rizq said...
August 28, 2010 at 8:22 AMemm bagus sekali artikel ni...btw terima kasih banyak2.