Soalan-soalan Lazim Sukuk Simpanan Rakyat

Maklumat berikut akan membantu anda memahami ciri-ciri SSR 01/2009:

1. Siapakah yang layak membeli SSR 01/2009?

Warganegara Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas.


2.

Bilakah tempoh jualan SSR 01/2009?


Tempoh jualan SSR 01/2009 ialah dari 14 April hingga 13 Mei 2009.


3. Bilakah pelabur boleh mendapatkan borang permohonan SSR 01/2009?

Borang permohonan SSR 01/2009 boleh didapati sebelum tempoh jualan SSR 01/2009 daripada semua cawangan bank ejen dan boleh juga dimuat turun daripada www.treasury.gov.my dan www.bnm.gov.my/sukuksimpanan .


4. Bolehkah bank ejen menerima permohonan dan bayaran SSR 01/2009 daripada pelabur sebelum tempoh jualan SSR 01/2009?

Tidak. Bank ejen hanya boleh menerima permohonan dan bayaran SSR 01/2009 daripada pelabur semasa tempoh jualan SSR 01/2009 yang bermula dari 14 April 2009.


5. Bagaimanakah SSR 01/2009 diagihkan kepada para pelabur?

  • SSR 01/2009 akan diagihkan kepada pelabur yang layak berdasarkan siapa dulu dia dapat dan juga mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.
  • Pembayaran yang dibuat semasa memohon SSR 01/2009 pada tarikh permohonan tidak bermaksud pemohon akan berjaya dalam pembelian SSR 01/2009.


6. Berapakan terbitan SSR untuk tahun 2009?

Terdapat dua terbitan SSR bagi tahun 2009.


7. Selama manakah tempoh pemegangan SSR 01/2009?

SSR 01/2009 mempunyai tempoh pemegangan selama tiga tahun.


8. Berapakah jumlah pelaburan minimum dan maksimum?

  • Pegangan minimum setiap pelabur ialah RM1,000 pada masa jualan dan pelabur boleh melanggan SSR 01/2009 dalam gandaan RM100, contoh RM1,100, RM1,200 dan seterusnya.
  • Agregat pegangan maksimum setiap pelabur SSR 2009 bagi kedua-dua siri ialah RM50,000.


9. Mengapakah pegangan maksimum bagi setiap pelabur SSR 2009 dihadkan kepada RM50,000 sahaja?

Jumlah pegangan maksimum sebanyak RM50,000 bagi setiap pelabur SSR 2009 membolehkan pengagihan yang lebih meluas dan memberi peluang kepada lebih ramai yang dapat melanggan SSR 2009 ini.


10. Adakah keuntungan akan dibayar kepada pelaburan yang dibuat antara tarikh permohonan dengan tarikh terbitan SSR 01/2009?

  • Bagi pemegang SSR 01/2009 yang memilih untuk membuka atau mengekalkan akaun simpanan sedia ada dengan bank ejen bagi tujuan menerima keuntungan suku tahunan, penebusan awal dan penebusan akhir:
    • Bank ejen akan membayar pulangan pada kadar semasa akaun simpanan kepada pemegang SSR 01/2009 untuk tempoh antara tarikh permohonan hingga tarikh terbitan SSR 01/2009.
    • Contohnya, jika anda memohon SSR 01/2009 pada 14 April 2009, anda akan dibayar pulangan pada kadar akaun simpanan untuk tempoh dari 14 April hingga 13 Mei 2009.
  • Sekiranya pemegang SSR 01/2009 yang memilih untuk membuka atau mengekalkan akaun semasa sedia ada dengan bank ejen bagi tujuan menerima keuntungan suku tahunan, penebusan awal dan penebusan akhir, pemegang SSR 01/2009 tidak akan menerima apa-apa keuntungan untuk tempoh antara tarikh permohonan hingga tarikh terbitan SSR 01/2009.


11. Berapakah keuntungan bagi SSR 01/2009?

Keuntungan bagi SSR 01/2009 ialah 5% setiap tahun. Ini bersamaan dengan 1.25% daripada jumlah pegangan (5% dibahagikan dengan 4) bagi setiap akhir suku tahunan.


12. Bila dan bagaimanakah keuntungan akan dibayar kepada pemegang SSR 01/2009?

  • Keuntungan akan dibayar kepada pemegang sukuk pada setiap suku tahunan.
  • Keuntungan daripada SSR 01/2009 akan dikreditkan terus ke dalam akaun simpanan atau akaun semasa pemegang SSR 01/2009 di bank ejen masing-masing.


13. Adakah keuntungan yang dibayar kepada pemegang SSR 01/2009 dikenakan cukai?

Tidak, keuntungan daripada sukuk ini dikecualikan daripada cukai.


14. Bolehkah pemegang SSR 01/2009 membuat penebusan awal dan menebus sebahagian daripada SSR 01/2009?

  • SSR 01/2009 boleh ditebus awal pada nilai muka pada atau sebelum tarikh matang, tetapi selepas tarikh pembayaran keuntungan pertama. Pembayaran keuntungan akan dibahagikan berdasarkan kepada bilangan hari pegangan SSR 01/2009 .
  • Jumlah penebusan minimum yang dibenarkan ialah RM100.
  • Pemegang SSR 01/2009 boleh menebus SSR 01/2009 yang dipegang dalam gandaan RM100.
  • Pelabur tidak dikenakan penalti atau fi pemprosesan untuk penebusan awal atau penebusan separa.


15. Bilakah dan bagaimanakah SSR 01/2009 boleh ditebus setelah ia matang?

  • Pada tarikh matang (14 Mei 2012), nilai SSR 01/2009 yang dipegang (termasuk pulangan bagi keuntungan terakhir) akan dikreditkan terus ke dalam akaun pemegang SSR 01/2009 dengan bank ejen masing-masing.
  • Nilai pegangan di atas ialah amaun pegangan prinsipal SSR 01/2009, ditolak penebusan separa, sekiranya ada.


16. Adakah SSR 01/2009 boleh dipindah milik?

  • SSR 01/2009 tidak boleh diurus niaga, dipindah milik atau diserah hak.
  • Jika pemegang SSR 01/2009 meninggal dunia, pembahagian harta pusaka termasuk pemegangan SSR 01/2009 akan ditentukan mengikut undang-undang pusaka.


17. Apakah dokumen yang diperlukan untuk membeli SSR 01/2009?

Kad pengenalan asal dan/ atau salinan kad pengenalan yang telah disahkan.


18. Di manakah SSR 01/2009 boleh dilanggan?

SSR 01/2009 boleh dilanggan di s emua bank ejen, iaitu bank perdagangan termasuk semua bank Islam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bank Negara Malaysia TELELINK di 1300 88 5465 atau lawati www.treasury.gov.my dan www.bnm.gov.my/sukuksimpanan .


Sumber: Bank Negara Malaysia

0 Comments:

Post a Comment




 

Original Blogger Template | Modified by Blogger Whore | Distributed by eBlog Templates